Cadangan Mahathir Adalah Penyelesaian Tetapi Keputusan PH Tidak Menentu

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KENINGAU: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, cadangan mencalonkan nama beliau sebagai Perdana Menteri dibuat kerana dipercayai mampu menyelesaikan kebuntuan politik yang melanda.

Bagaimanapun, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu berkata, keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini menunjukkan ketidaktentuan dalam PH untuk membuat keputusan bagi menyelesaikan kebuntuan tersebut.

“Saya percaya ketika saya dicadangkan sebagai calon, itu adalah penyelesaian, saya percaya itu adalah penyelesaian kepada kebuntuan tetapi itu juga menunjukkan bagaimana ketidaktentuan dalam PH, nampak sangat daripada segi keadaan ini kita tidak ada keputusan yang begitu jelas jadi kita tunggu keadaan dia,” katanya ketika ditanya tentang perkara itu dalam sidang akhbar hari ini.

Sebelum ini bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mencadangkan Mohd. Shafie sebagai Perdana Menteri sekiranya PH dapat kembali memerintah Putrajaya daripada Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, Majlis Presiden PH memutuskan PH akan kekal dengan keputusan asal untuk menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Mohd. Shafie berkata beliau mengambil keputusan untuk tunggu dan lihat mengenai perkembangan semasa, namun tiada masalah untuk sesiapa sahaja dari Sabah menjadi Perdana Menteri memandangkan sejak 60 tahun merdeka belum pernah ada pemimpin dari Sabah menjawat jawatan itu.

“Mereka katakan akan ada perbincangan kita lihat kalau ada perbincangan bagi kita ialah kita nyatakan bahwa tiada masalah, 60 tahun sudah merdeka tidak semestinya bukan saya kalau itu menjadi penyelesaiannya yang kita tahu banyak pertelingkahan Tun Mahathir tidak terima Anwar tidak terima, kalau itu penyelesaian untuk negara Malaysia, Sabah tidak pernah, tetapi saya belum putuskan,” katanya.