Cadang Perjanjian Baharu, Tok Mat Seperti Mahu Sabah Keluar Malaysia

KOTA KINABALU: Cadangan dikeluarkan oleh Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan untuk mewujudkan perjanjian baharu seolah-olah tidak mengiktiraf Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, cadangan mewujudkan perjanjian baharu itu seakan-akan tidak mengiktiraf pembentukan Malaysia dahulu.

“Apa pengertiannya? Adakah mereka tidak hargai MA63? Adakah mereka mahu Sabah keluar daripada Malaysia.

“Pemimpin terdahulu daripada Sabah dan Sarawak terpaksa terbang hingga ke London bagi membolehkan Malaysia dibentuk. Apa dijanjikan ketika itu adalah status Sabah dan Sarawak yang mempunyai kuasa menuntut hasil 40 peratus yang perlu dikembalikan kepada kedua-dua negeri itu.

“Semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah, 17 daripada 20 Perkara telah diluluskan namun, masih belum dilaksanakan sepenuhnya. Ada berbaki empat Perkara lagi yang belum diputuskan.

“Sekarang BN mencadangkan buat perjanjian baharu, adakah itu bermakna mereka mahu batalkan MA63. Perlu diingat, apabila sesuatu perjanjian dibatalkan banyak kesan yang akan diterima,” katanya semasa siaran langsung menerusi laman Facebook semalam.

Justeru itu, Mohd Shafie mahu pemimpin BN meneliti semula kenyataan mereka dengan sebaiknya. Jangan hanya mahu menyenangkan hati rakyat Sabah maka, mereka menawarkan perjanjian baharu.

“Kita di Sabah bukan bodoh. Jika mahu membina sebuah negaram tunaikan janji yang telah termaktub dalam MA63. Berdosa jika janji itu tiak ditunai, sebagai seorang Islam itu bukan amalan yang sepatutnya.

“Hanya sebab mahu senangkan hati rakyat Sabah kerana PRU semakin dekat, mereka mahu membuat perjanjian baharu. Tak payahlah, tunaikan sahaja perjanjian sedia ada,” jelasnya.