Cabar TYT, Tindakan Biadap Musa Aman

ADRIAN LASIMBANG

KOTA KINABALU: Tindakan Tan Sri Musa Aman dan kumpulannya mencabar keputusan Yang DiPertua Sabah (TYT) disifatkan sebagai tindakan biadap dan tidak menghormati kuasa Perlembagaan Negeri Sabah.

Senator Adrian Lasimbang berkata, tindakan itu bukan sahaja mempersoal kuasa TYT dalam Perlembagaan Sabah malah, ia seolah-olah menarik sistem kehakiman negara ke kancah krisis perlembagaan.

Pengarah Pendidikan Politik Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah ini berkata, dalam Perlembagaan Negeri Sabah, TYT mempunyai kuasa mutlak dalam melantik Ketua Menteri dan kuasa untuk membubarkan DUN melalui nasihat Ketua Menteri.

”Tindakan mereka langsung tidak hormat kepada peranan dan kuasa yang ada pada TYT dalam pentadbiran kerajaan Sabah.

“TYT dan Istana Negeri merupakan hiraki tertinggi dalam pentadbiran kerajaan Sabah dan ia memegang martabat serta kedaulatan undang-undang negeri ini.

”Tindakan mereka bukan sahaja menujukkan mereka tidak percaya dengan kewibawaan TYT, malah mempersoalkan kemampuan TYT untuk membuat keputusan yang terbaik untuk rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, tindakan mereka bersifat angkuh dan pentingkan diri sendiri.

“Mungkin kerana Musa mempunyai sumber kewangan yang banyak hingga membuatkan dia rasa boleh berbuat apa saja demi mencapai cita-cita peribadi, tanpa memperdulikan kepentingan rakyat dan negeri Sabah.

“Inikah jenis pemimpin yang kita mahu beri kepercayaan menerajui negeri Sabah,” jelasnya.

Ahli Dewan Negara ini berkata, tindakan Musa dan kumpulannya itu bukan sahaja telah memporak-perandakan kerajaan negeri dengan rancangan jahat mengambil alih kerajaan melalui pintu belakang pada saat genting.

Tambahnya, ketika negara sedang berdepan dengan krisis ekonomi dan pandemik Covid-19 malahan telah memberikan tekanan kepada TYT untuk membuat keputusan sukar untuk membubarkan DUN lebih awal. Parti Warisan Sabah (Warisan) dibawah pimpinan DS Shafie Apdal masih ada tiga tahun lagi untuk menerajui negeri Sabah.

Mereka mencabar keputusan TYT hanya untuk menutup malu dan menunjukkan keenganan mereka mengambil tanggungjawab atas keruntuhan kerajaan akibat tindakan tidak beretika mereka yang membelakangi mandat rakyat.

Katanya, rakyat Sabah perlu pandai menilai mereka yang derhaka terhadap TYT dan hukum mereka di kotak undi.