Bung Sahkan UMNO Tanding Semua Kerusi Tradisi

BUNG MOKTAR

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: UMNO Sabah akan bertanding di semua kerusi tradisinya jika pilihan raya mengejut diadakan pada bila-bila masa.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin seperti dilaporkan FMT berkata, kerusi itu termasuk yang disandang bekas pemimpin UMNO yang telah melompat parti.

“Kami akan bekerjasama dengan parti yang tidak seiring dengan Warisan.

“Secara asanya, UMNO Sabah akan bertanding di semua kerusi tradisinya.

“Rundingan untuk kerusi-kerusi lain akan ditentukan nanti, namun tiada rundingan untuk kerusi yang telah dimenangi UMNO,” katanya seperti dilaporkan portal tersebut.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), UMNO Sabah bertanding di 14 kerusi Parlimen iaitu Kudat, Kota Belud, Sepanggar, Papar, Kimanis, Beaufort, Sipitang, Tenom, Beluran, Kinabatangan, Silam, Libaran, Semporna dan Kalabakan.

UMNO yang bertanding sebagai Barisan Nasional (BN) kalah di Kota Belud, Sepanggar, Papar, Tenom, Silam, Semporna dan Kalabakan.

Sementara itu, dalam laman Twitter miliknya, Bung mengesahkan parti itu akan bertanding di semua kerusi Parlimen yang dimenangi pada 2018.

“UMNO Sabah dah buat keputusan untuk bertanding di semua kerusi Parlimen yang ditandingi semasa PRU14 yang lalu dan beberapa kerusi yg difikirkan perlu di sinilah kita melihat sama ada UMNO Sabah masih laku dan relevan bagi rakyat sabah,” katanya.