Bung: Sabah Perlu RM13 Bilion Untuk Tingkat Kualiti Bekalan Air

KINABATANGAN: Kerajaan negeri menganggarkan sebanyak RM13 bilion diperlukan dalam usaha meningkatkan kualiti bekalan air untuk rakyat negeri Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata kos itu antara lain bagi menggantikan paip lama berusia lebih 50 tahun dan mengatasi masalah paip bocor yang berlaku.

“Sekitar 45 peratus daripada sistem paip air di Sabah masih menggunakan paip lama… ada juga paip di Sabah ini dibina semasa pemerintahan British tidak pernah diganti.

“Ini akan mendatangkan mudarat kepada masyarakat dan membimbangkan saya jika tidak ditangani dengan secepat mungkin, akhirnya rakyat Sabah tidak akan dapat menikmati bekalan air bersih,” katanya kepada pemberita selepas meninjau jambatan rosak akibat hujan lebat di Kampung Paris dekat sini hari ini.

Terdahulu, Bung Moktar turut meninjau Loji Rawatan Air Segaliud di Sandakan yang akan mendapat sebuah pam air baharu dalam tempoh dua bulan lagi bagi menggantikan pam yang rosak.

Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat juga paip air yang dipasang di bawah tanah rosak akibat pergerakan tanah dan menyebabkan kebocoran, justeru perancangan sistem paip yang tersusun penting bagi mengatasi masalah tersebut.

Katanya bagi melancarkan pengagihan bekalan air di negeri itu, kerajaan sedang merancang untuk menggantikan infrastruktur muka sauk dan membina kolam takungan air baharu.