Bung Moktar Tidak Iktiraf Dua Wakil Rakyat Dalam Kabinet Sebagai wakil UMNO

KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin tidak mengiktiraf wakil UMNO yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri dan menteri Kabinet Negeri yang baharu.

Bung Moktar berkata, keputusan yang diambil dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN/UMNO itu disifatkan sebagai membelakangkan parti.

“Pelantikan ahli Kabinet baharu melibatkan dua ADUN UMNO ini tidak mewakili parti dan kita tidak membuat sebarang pengiktirafan mengenainya.

“Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor juga tidak boleh mengatakan atau mengiktiraf mereka ini mewakili UMNO dalam barisan Kabinetnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini, rombakan Kabinet Negeri memperlihatkan ADUN Tanjung Keramat, Datuk Shahelmey Yahya dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya yang baharu manakala, ADUN Sugut Datuk James Ratib dilantik sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat.

Shahelmey dan James antara tiga ADUN BN/UMNO yang tidak menyokong keputusan Bung Moktar untuk menarik sokongan daripada Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, pihaknya sedang membawa perkara berkenaan untuk dihadapkan kepada lembaga disiplin parti kerana membelakangkan keputusan UMNO/BN Sabah.

“Kita akan berbincang dengan Presiden (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) untuk mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.

Bung Moktar turut mendakwa keputusan diambil oleh Hajiji itu seperti membelakangkan pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menubuhkan sebuah kerajaan perpaduan.

“Ketua Menteri nampaknya membelakangkan pandangan Perdana Menteri untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan di Sabah, perlu diingat pembentukan kerajaan Persekutuan, BN merupakan penyumbang kepada Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Tambahnya, beliau bersedia menjadi pembangkang yang akan memainkan peranan secara berkesan.

Keputusan itu diambil selepas beliau digugurkan sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah selepas rombakan Kabinet Negeri yang baharu.