Bung Gesa Kerajaan Pusat Bekalkan Segera Vaksin

KOTA KINABALU: Kerajaan Pusat melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) digesa untuk menyegerakan penghantaran bekalan vaksin ke Sabah.

Ketika ini, Sabah berada di kedudukan paling rendah dalam proses vaksinasi berbanding negeri-negeri lain.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar) berkata, perkembangan ini amat membimbangkan terutama sekali semasa kes positif Covid-19 meningkat sejak beberapa minggu lalu.

Beliau berkata, pelbagai pendekatan dilaksanakan kerajaan negeri seperti pembukaan lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) serta Program Outreach Vaksinasi Covid-19. Namun, proses vaksinasi akan menjadi lambat sekiranya bekalan vaksin tidak mencukupi.

Untuk itu, beliau mahu kerajaan Pusat terutama JKJAV supaya bertindak segera dengan menghantar bekalan vaksin ke Sabah bagi mengurangkan jurang antara Sabah dan negeri-negeri lain dalam pemberian vaksin.

“Selaku wakil rakyat yang prihatin dengan kesejahteraan rakyat Sabah, saya meminta kerajaan pusat supaya menyegerakan penghantaran vaksin ke Sabah bagi memastikan kita (kerajaan negeri) dapat memberikan suntikan imunisasi kepada lebih banyak rakyat di negeri ini. Isu berkaitan kesihatan dan kebajikan rakyat Sabah perlu diutamakan,” katanya selepas merasmikan bilik mesyuarat di bangunan Kementerian Kerja Raya, di sini hari ini.

Menurutnya, isu pemberian vaksin ini tidak boleh dilengahkan kerana kita berhadapan dengan ancaman virus Covid-19 yang lebih berbahaya ekoran penemuan varian baharu yang lebih mudah menular.

Maka, usaha membentuk imuniti berkelompok perlu disegerakan bagi mengurangkan risiko jangkitan dalam kalangan rakyat Sabah.

Bung Moktar, yang juga Menteri Kerja Raya menyarankan semua pihak terlibat supaya melaksanakan inisiatif lain bagi menggalakkan lagi pendaftaran vaksin memandangkan kaedah melalui MySejahtera tidak cukup berkesan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag ini berkata, pendekatan ‘walk-in’ wajar dipertimbangkan kepada rakyat Sabah yang belum lagi menerima temu janji khususnya di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai akses kepada kemudahan internet.

Ahli Parlimen Kinabatangan ini berkata, atas sebab itu, selain mendaftar menggunakan MySejahtera, pendaftaran secara ‘walk-in’ dan pandu lalu juga perlu dibuka untuk memastikan Sabah dapat mencapai sasaran imuniti berkelompok dalam tempoh yang disasarkan.