Bung Akan Bincang Agihan Kerusi Dengan GRS

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Perbincangan mengenai pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) antara Umno dan gabungan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan dilakukan bila tiba masa sesuai.

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, rundingan belum lagi bermula kerana ketika ini mereka (GRS) ingin memfokuskan kepada agenda pembangunan negeri ini.

Katanya, masih terlalu awal untuk UMNO Sabah membuat keputusan berhubung pembahagian kerusi.

“Bagaimanapun, kita akan berunding dengan GRS untuk mencari kaedah terbaik untuk menyelesaikan masalah isu agihan kerusi ini.

“Semalam saya memberi kenyataan bahawa di Sabah, kita akan berbincang dengan GRS. Jadi, apa pun pergolakan politik di Semenanjung tidak akan boleh meruntuhkan kerajaan GRS.

“Kita akan bincangkan dan kemukakan cadangan (agihan kerusi) kepada pucuk pimpinan UMNO Pusat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Hala Tuju Sabah Maju Sabah 2021-2025, di sini hari ini.

Mengulas tentang keputusan UMNO untuk menarik sokongan daripada PN sekiranya Parlimen tidak dibubarkan menjelang Ogos, Bung berkata, apa juga keputusan yang UMNO Pusat rencanakan, ia tidak akan menggangu gugat politik di negeri Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Sabah ini berkata, beliau telah memberi lampu hijau bahawa UMNO Sabah adalah sebahagian dari UMNO Malaysia.

“Kita hormati keputusan mereka di Semenanjung, mereka boleh melihat pendekatan macam mana untuk melaksana politik di sana tetapi untuk Sabah, kita akan pertahankan kerjasama melalui GRS. Itu sangat jelas,” katanya.

Semalam, Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman memutuskan bahawa UMNO akan bertanding 120 kerusi Parlimen pada PRU-15.

“Parti sudah memutuskan bahawa kita akan bertanding tidak kurang 120 kerusi Parlimen. Parti mana yang akan bertanding lebih daripada itu? Bahkan Bersatu tidak akan bertanding lebih 50 atau 60 kerusi. PAS juga tak akan bertanding melebihi 50 atau 60 kerusi,” ujar Tajuddin.