Buku ‘Strange Magic And Supernatural Encounters’ Dedah Cara Hidup Masyarakat Zaman Dahulu

KOTA KINABALU: Buku bertajuk ‘Strange Magic and Supernatural Encounters’ yang dilancarkan hari ini boleh menjadi antara sumber maklumat mengenai cara hidup masyarakat pada zaman dahulu, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata buku yang mengandungi 12 subtajuk ditulis oleh wartawan sebuah portal Anna Vivienne dapat memberi gambaran kepada pembaca tentang gaya hidup masyarakat pada zaman dahulu, seperti penanaman padi, perburuan, penangkapan ikan, selain pengunaan dialek tempatan yang diterjemahkan dalam glosari untuk membolehkan pembaca mengetahui istilah dan nama beberapa item pada zaman dahulu.

“Saya telah membaca buku ini dan ia bukan sahaja menghiburkan, malah memberi maklumat kepada kita tentang kepercayaan karut yang diamalkan pada zaman dahulu. Walaupun kita tidak lagi percaya dengan perkara itu, namun ia merupakan sebahagian daripada latar belakang budaya kita.

“Ramai orang muda mungkin tidak pernah mengetahui tentang perkara itu (kepercayaan karut), namun melalui buku ini mereka mengetahui bahawa pada zaman nenek moyang kita ia telah diamalkan,” katanya ketika berucap semasa melancarkan buku ini di sini hari ini.

Ewon berkata cerita yang terkandung dalam buku berkenaan bukan sahaja didasarkan kepada suku kaum Kadazandusun tetapi juga kumpulan etnik lain yang hidup di zaman purba dan zaman moden.

“Oleh itu, saya percaya bahawa buku ini boleh menjadi bahan bacaan yang baik untuk semua orang terutamanya golongan muda yang mungkin tidak pernah mendengar cerita-cerita pada zaman dahulu,” tambahnya.

Sementara itu, Anna berkata cerita yang ditulis dalam buku berkenaan diperoleh daripada kisah pada zaman dahulu yang diceritakan oleh nenek dan datuknya.

“Saya menulis buku ini dengan membuat watak-watak rekaan untuk menjadikannya lebih menarik dan menghiburkan, selain ia memberi maklumat dan pendidikan kepada pembaca.