Buku Resepi ‘Curry Leaves’ Karya Ke-15 Isteri Ketua Menteri Dilancarkan

194

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Bakat dan minatnya dalam bidang masakan sejak muda memberi inspirasi kepada Datin Seri Shuryani Shuaib untuk tampil dengan buku resepinya yang pertama.

Isteri kepada Ketua Menteri Sabah ini bukan hanya berbakat dalam bidang lukisan, beliau juga berbakat dalam penulisan buku.

Sehingga kini, beliau sudah menghasilkan 15 buah buku termasuk buku resepi terbaharu berjudul ‘Curry Leaves’. Buku resepi ini memuatkan 100 jenis resepi termasuk resepi turun termurun keluarganya dan ia dijual pada harga RM99.90.

Menariknya tentang pengeluaran buku ini, segala keuntungan jualan buku akan disumbangkan kepada Yayasan Insaniah bagi membantu golongan kurang bernasib baik.

Shuryani berkata, sejak bergelar isteri dan ibu, masa yang amat dinanti-nantikan olehnya adalah saat duduk di meja makan bersama keluarganya.

”Tiada perkara yang boleh membuatkan saya gembira selain melihat ahli keluarga dan rakan-rakan saya duduk dimeja makan menikmati hidangan yang saya sajikan,” katanya.

Beliau berkata, buku setebal 100 muka surat itu dihasilkan dengan menggabungan minatnya dalam masakan serta memori indah yang tercipta semasa menghasilkan resepi berkenaan.

Menurutnya, Curry Leaves mungkin kedengaran mudah namun, itu adalah caranya menzahirkan apa yang paling digemarinya.

”Terdapat resepi kegemaran saya serta petua bagaimana membuatkan tetamu merasa dialu-alukan dan selesa. Walau resepinya mudah tapi ia berkesan,” ujarnya.

Beliau berharap dengan berkongsi buku resepi ini kepada umum, ia dapat membawa kegembiraan kepada ramai orang sama seperti ia membawa senyuman kepada keluarga dan rakan-rakan yang merasa hidangan disediakannya.

Turut memuji bakat Shuryani dalam bidang masakan adalah Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal.

Shafie yang hadir memberi sokongan kepada isterinya dalam Majlis Pelancaran Buku ‘Curry Leaves’ itu berkongsi kenangan bagaimana masakan isterinya itu membuatkan beliau ingin mengenali wanita yang ditemui di Kota London semasa zaman remajanya itu.

Menurutnya, kali pertama merasa masakan kari dan pajeri yang dimasak isterinya, beliau tahu wanita itu memang pandai memasak.

Katanya, walaupun masakan itu pedas, beliau tetap memakannya kerana itu adalah kali pertama beliau merasa masakan Shuryani yang kini sudah menjadi isterinya.

Jika boleh digambarkan keenakan masakan isterinya, Mohd Shafie berkata, apabila isterinya memasak kari, aroma kari akan memenuhi ruangan rumah dan pada saat beliau masuk ke rumah, aroma rempah ratus yang pelbagai jenis sudah boleh dihidu.

Beliau memuji usaha isterinya yang menghasilkan buku itu agar hasil jualannya dapat disumbangkan kepada badan amal melalui Yayasan Insaniah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew ketika menyempurnakan pelancaran buku itu mahu buku berkenaan dijadikan momento untuk diberikan kepada pelawat yang berkunjung ke kementeriannya dan pejabat pelancongan di seluruh dunia.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar ini berkata, beliau akan membeli sejumlah buku daripada isteri Ketua Menteri itu untuk ditempatkan di pejabat-pejabat pelancongan seluruh dunia.

Beliau mahu buku itu dijadikan cenderamata kepada mana-mana pelawat yang berkunjung ke pejabat-pejabat pelancongan.

Dengan itu, usaha membantu golongan kurang bernasib baik melalui Yayasan Insaniah itu dapat dijayakan.