Buktikan Undi Rakyat Kimanis Bukan Bernilai RM100

1781

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KIMANIS: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal mahu rakyat Kimanis membuktikan bahawa maruah dan undi mereka bukan bernilai RM100 atau RM200.

Beliau percaya rakyat Sabah di Kimanis ini mempunyai maruah, martabat dan nilai yang jauh lebih baik.

Katanya, jangan biarkan wang bernilai RM100-RM200 itu merosakkan masa depan anak muda yang inginkan lebih banyak peluang pekerjaan dan pembangunan di Kimanis.

“Jangan biarkan Barisan Nasional (BN) datang masuk kampung bagi RM100, kita terus undi mereka. Wang itu tidak akan membantu kita dan anak-anak kita untuk tempoh 10 tahun akan datang.

“Jangan salah pilih, cukuplah BN di Sabah, kita harus tolak UMNO dan BN ini daripada bertapak di bumi Sabah,” katanya semasa berucap dalam Program Pemimpin bersama Rakyat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Dindong, di sini hari ini.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) ini berkata, kerajaan pimpinan Warisan hari ini sedang merancang untuk membangunkan industri hiliran di setiap kawasan yang mempunyai sumber alam. Langkah ini pastinya akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk anak-anak muda tempatan.

Jadi, jangan dengar cerita-cerita daripada parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang berjanji akan membantu rakyat Kimanis sekiranya menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Mohd Shafie berkata, kerajaan BN sudah memerintah negara lebih 50 tahun tapi baru sekarang mereka mahu membantu rakyat di Kimanis.

“Saya tidak menafikan ada pembangunan yang dibawa oleh mereka namun, pembangunan itu tidak kepada masyarakat luar bandar.

“Sabah sebuah negeri yang kaya dengan minyak dan gas, kayu balak serta pelbagai sumber alam lain. Namun, Sabah juga kaya dengan orang miskin. Sepatutnya negeri yang kaya ini, rakyatnya juga kaya,” jelasnya.

Dalam majlis itu, buat pertama kalinya Mohd Shafie menunjukkan minit mesyuarat mengenai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah yang dipengerusikan Tan Sri Joseph Pairing Kitingan.

Dalam minit mesyuarat RCI itu terdapat rekomendasi yang secara jelas memaparkan cadangan memperkenal Pas Residen Sementara Sabah (PRSS) yang kini dinamakan sebagai Pas Sementara Sabah (PSS).