Bukan Pengait, Tetapi Disembunyikan Makhluk Halus

    Maklumat yang tular berhubung kehilangan kanak-kanak didakwa berkaitan dengan ‘pengait’ adalah tidak benar.

OLEH NORA AHMAD
SIPITANG: Dakwaan seorang kanak-kanak lelaki hilang akibat diculik dan dikaitkan dengan ‘pengait’ atau sindiket mencuri organ manusia di Kampung Kelangsat, sehingga tular di media sosial kelmarin adalah tidak benar.

Sebaliknya, penduduk kampung mendakwa bahawa kanak-kanak berusia 10 tahun itu hilang kerana disembunyikan makhluk halus sebelum ditemui kira-kira pukul 9 malam di belakang rumah ketua kampung berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, pihaknya ada menerima maklumat bahawa seorang kanak-kanak hilang dalam pada Sabtu lalu.

Katanya, terdapat satu kenyataan yang tular di media sosial semalam bahawa kanak-kanak terbabit pada awalnya didakwa diculik sehingga menimbulkan kegusaran orang awam di daerah ini.

“Sebaik menerima maklumat itu, sepasukan anggota segera dikerah ke kampung berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Hasil maklumat penduduk, kejadian didakwa berlaku kira-kira pukul 6.30 petang bagaimanapun kanak-kanak itu ditemui kira-kira pukul 9 malam di kawasan belakang rumah ketua kampung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kawasan kanak-kanak hilang ditemui di belakang rumah ketua kampung di Kampung Kelangsat, Sipitang.

Katanya lagi, siasatan lanjut di lokasi mendapati beberapa penduduk kampung mendakwa insiden itu sebenarnya berkaitan dengan kejadian makhlus halus.

“Hasil temubual dengan ketua kampung dan beberapa penduduk kampung mengesahkan mangsa dipercayai disembunyikan makhluk halus.

“Mangsa didakwa ditemui di kawasan tanah  lapang dalam keadaan terlentang sambil tangan di lekap atas dada,” katanya.

Champin berkata, kanak-kanak itu selamat namun masih dalam keadaan lemah.

“Difahamkan, ahli keluarga mangsa juga mengadakan kenduri selamat dengan menyembelih ayam dan kerbau untuk menolak bala mengikut kepercayaan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, Champin berkata kejadian itu tiada kaitan seperti yang didakwa dan orang ramai diminta tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih bagi mengelak daripada keadaan panik di daerah ini.