Bukan Kejar Kekayaan; Buktikan Perkhidmatan Terbaik Kepada Rakyat

2127

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal memberi peringatan tegas kepada semua pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) dan pemimpin kerajaan agar tidak terlibat dengan budaya politik lama yang mengejar pangkat dan jawatan untuk mencipta kekayaan peribadi.

Presiden Warisan berkata, sejarah politik Sabah telah membuktikan bahawa parti yang kuat seperti UMNO sekalipun boleh tumbang ditolak rakyat kerana telah lari daripada perjuangan membela rakyat kepada perjuangan mencapai kepuasan peribadi pemimpin.

Ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden dalam Persidangan Agung Tahunan Warisan 2018/2019, Mohd. Shafie berkali-kali menegaskan peringatan tersebut untuk memastikan parti itu mampu bertahan dan terus menjadi pilihan rakyat memerintah Sabah.

“Rakyat bukan melihat pangkat atau jawatan untuk mengundi, kita letak calon yang tiada pangkat tetapi rakyat memilih kita kerana mereka meletakkan harapan supaya perubahan dapat dibawa.

“Saya mahu ingatkan pemimpin Warisan bahawa perjuangan mesti ikhlas bukan disebabkan pangkat atau duit, parti tidak akan kuat jika tiada perjuangan yang berteraskan nilai murni dan keikhlasan,” katanya.

Mohd Shafie berkata, dalam pentadbirannya, beliau hanya akan melantik individu yang betul-betul berkelayakan untuk memegang jawatan kerajaan termasuk di dalam syarikat milik kerajaan (GLC) bukannya atas dasar berjawatan di dalam parti.

Ini kerana katanya, matlamat untuk membawa perubahan ke arah yang lebih baik di negeri ini tidak akan dicapai jika orang yang dilantik itu atas dasar berkepentigan tetapi tidak mampu memikul tanggungjawab.

“Sebagai contoh di Semporna 99 peratus penduduknya ialah orang Bajau tetapi saya lantik pegawai daerah orang Kadazan berasal dari Tambunan kerana saya kenal dia sudah lama dan tahu bagaimana dia bekerja.

“Jadi kepada mana-mana pemimpin jangan cakap minta undi untuk jawatan parti selepas itu cakap akan jadi calon dan dapat jawatan kerajaan kerana dalam Warisan tiada jaminan anda akan dilantik memegang jawatan,” tegas beliau.

Sementara itu, tegas Mohd. Shafie, bagi pemimpin yang telah dipilih memegang jawatan kerajaan, mereka perlu membuktikan bahawa perkhidmatan yang diberi kepada rakyat adalah cepat dan terbaik bukannya dibelenggu karenah birokrasi.

Katanya, sebagai Ketua Menteri, beliau tahu pemimpin-pemimpin yang bekerja dengan baik dan mana yang tidak melaksanakan amanah dengan sempurna sehingga mendapat rungutan rakyat.

“Saya pergi ke satu pejabat secara diam-diam, saya perhatikan satu pegawai urus 50 fail kalau begitu bila masalah rakyat boleh selesai kenapa perlu tunggu sehingga bertahun-tahun.

“Bila saya pergi kelulusan permohonan rakyat boleh dibuat dalam masa satu hari tetapi kenapa selama ini tidak begitu, inilah yang saya katakan perkhidmatan untuk rakyat mestilah yang terbaik,” tambahnya.