Bukan Budaya Sabah Untuk Menilai Seseorang Dari Sudut Kaum

RAIME UNGGI

Oleh RAIME UNGGI
KOMEN: Saya merujuk kepada laporan polis yang dibuat oleh Setiausaha Agong Parti Warisan Sabah, Loretta Padua Jr dan kenyataan dalam beberapa ceramah-ceramah Naib Presiden Parti Warisan Sabah, Peter Anthony terhadap Menteri Luar Negara, Anifah Aman

Tuduhan perkauman yang dibuat dalam laporan polis Loretta ternyata tersasar sekali. Setelah mendengar video asli ucapan Anifah di majlis makam malam Tahun Baru Cina di sebuah hotel di Kota Kinabalu pada Februari 9hb, 2018 ternyata tiada sepatah perkataan perkauman langsung yang disebut.

Malah Anifah ada berkata tidak kira apa sekali kaum yang akan dipilih untuk memerintah Sabah, yang penting dia adalah Sabah tulen.

Saya tidak lihat apa-apa elemen perkauman dalam istilah Sabah tulen. Yang jelas boleh difahami, konteks istilah Sabah tulen yang dimaksudkannya jelas merujuk kepada warganegara yang sah dan mereka yang asal usulnya dari Sabah.

Sebagai pemimpin yang telah membimbing saya dalam politik, saya telah lama dan begitu mengenali Anifah. Tidak pernah saya lihat dan dengar Anifah bersikap perkauman dan mengungkapkan kata-kata yang berbaur perkauman.

Beliau adalah seorang pemimpin yang adil dan bijaksana dalam tindak tanduknya. Tuduhan rasis terhadapnya ternyata tersasar sekali.

Laporan polis tersebut dikhuatiri mempunyai niat yang lain kerana pada masa yang sama, ada sesetengah pihak yang telah menularkan video ucapan yang telah di sunting seolah-olah Anifah merujuk Shafie Apdal sebagai orang luar dalam ucapannya.

Padahal ketika sesi bersama wartawan, yang mana video sesi tersebut telah menular, Anifah menjelaskan pihak tertentu yang dikatakan akan mengambil kembali Sabah bukan merujuk kepada Shafie Apdal tetapi dalam konteks istilah Sabah tulen.

Saya khuatir ada pihak yang berniat jahat untuk membina persepsi dan menimbulkan polemik politik yang berlandaskan perkauman bagi membangkitkan emosi kaum-kaum tertentu dan seterusnya memberi undi kepada parti politik tertentu.

Sehubungan ini, saya merujuk kepada satu ceramah Peter Anthony, beliau ada menyebut kaum Bajau sebagai bangsa yang pertama di Sabah.

Ini pasti akan membangkitkan semangat kaum Bajau dan menimbulkan kemarahan kaum-kaum lain seperti KDM yang merupakan antara bangsa-bangsa asal Sabah.

Kewujudan sesuatu kaum di Sabah tidak perlu menafikan kewujudan kaum-kaum lain pula. Ini hanya menimbulkan ketegangan antara kaum dan membawa suatu budaya politik yang tidak sihat.

Saya yakin Anifah tidak ada sifat perkauman dalam dirinya. Malah setiausaha politik Anifah, Jihek Haji Basanu juga merupakan kaum Bajau.

Sebagai seorang rakyat Sabah yang berbangsa Murut, saya pasti kaum Murut menolak sekeras-kerasnya polemik perkauman sebegini. Bukan budaya Sabah untuk menilai seseorang dari sudut kaum.

Saya harap rakyat Sabah menolak sekeras-kerasnya budaya politik yang kurang sihat ini. Politik sepatutnya membawa penyatuan rakyat untuk kemajuan dan bukan memecah-belahkan rakyat dan membinasa masyarakat.

• Raime Unggi ialah Ahli Parliamen Tenom