Buka Tamu Mingguan Untuk Bantu Ekonomi Orang Kampung

JUNZ WONG

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) menggesa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk membenarkan semula tamu beroperasi bagi membantu orang kampung menjana pendapatan.

Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong berkata, keadaan ekonomi orang kampung tidak akan pulih sekiranya mereka tidak dibenarkan kembali berniaga.

“Tamu-tamu bukan sahaja lambang keunikan Sabah malah, ia juga lubuk rezeki bagi orang kampung menjual hasil pertanian. Tamu merupakan tempat petani dan penternak tradisional menjana pendapatan dan mereka bergantung pada sumber pendapatan ini untuk kelangsungan hidup,” katanya.

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan ini berkata, sekiranya pusat membeli belah dibenarkan beroperasi, tiada sebab untuk tamu ditutup sehingga sekarang.

“Sekiranya pusat membeli belah yang mana kawasannya tertutup boleh dibenar beroperasi, kenapa tamu yang kawasannya terbuka tidak dibenar beroperasi?. Kerajaan boleh membula semula tamu dengan melaksanakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Kenapa susah sangat mahu membenarkan tamu beroperasi semula?.

“Sejak tahun lalu, saya sudah berkali-kali menasihatkam kerajaan untuk mengelak krisis kesihatan dan krisis ekonomi. Jika krisis kesihatan tidak dapat dielakkan, sekurang-kurangnya elakkanlah krisis ekonomi.

“Apa yang saya bimbang ialah rakyat Sabah akhirnya terpaksa berdepan dengan kedua-dua krisis ini,” katanya.

Junz berkata, sekiranya krisis ini tidak diurus dengan baik, krisis ekonomi mungkin lebih teruk dan menjejaskan lebih ramai orang.