Buka Mata Jika Ingin Perubahan – Shafie

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PITAS: Berada dalam senarai daerah paling miskin di Malaysia seharusnya membuka mata rakyat Pitas untuk berubah dengan menolak kepemimpin Barisan Nasional (BN) yang ternyata gagal membawa pembangunan.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, sudah lama mereka memerintah dan mentadbir Sabah dan Pitas tetapi, Pitas masih lagi jauh ketinggalan.

“Kita tidak pernah sedar dan insaf, apabila diberi duit dibagi baju, kita ikut UMNO/BN namun, selepas pilihan raya kita masih susah.

”Sudah 60 tahun UMNO/BN memerintah Sabah tapi Pitas masih ketinggalan. Tiba masa untuk menyerahkan kuasa kepada orang Pitas yang mana, rakyatnya tergolong sebagai paling miskin mengikut laporan bank dunia pada 2010.

“Sudah tiba masanya kita serahkan kuasa kepada orang Pitas untuk mementukan siapa YB mereka mahu.

“Selagi tidak sedar, selagi itu rakyat Pitas akan terus berada dalam kemiskinan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Bersama Rakyat DUN Pitas, di Dewan Majlis Daerah Pitas, hari ini.

Mohd Shafie mahu menyerahkan kuasa kepada rakyat Pitas untuk memilih pemimpin yang mereka mahukan.

“Siapa cakap kalau kita kerjasama dengan persekutuan, kita akan maju? Kita sudah bekerjasama selama 60 tahun, kita masih susah, di Pitas ini masih susah,” jelasnya.

Tambahnya, sekarang ini, parti yang memerintah Sabah adalah parti tempatan bukannya parti Kuala Lumpur seperti Parti Pribumi Bersatu Sabah (BERSATU) dan UMNO.

Maka, rakyat harus sedar dan bersama-sama menyokong Warisan bagi memastikan Warisan dapat meneruskan tuntutan hak-hak Sabah daripada kerajaan persekutuan.