Budaya Minta Projek Perlu Dihentikan, Tegas Ketua Menteri

8874

Oleh SURAIDAH ROSLAN
SEMPORNA: Budaya meminta projek daripada Ketua Menteri yang disifatkan sebagai kanser tahap empat perlu diubah sebelum ia merebak hingga menyebabkan pentadbiran kerajaan baharu terjejas.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, budaya berjumpa dengan Ketua Menteri mahupun menteri lain bagi mendapatkan sesuatu projek perlu dihentikan dan diubah.

Pendekatan baharu dalam pentadbiran negeri perlu diubah kerana rakyat sudah memberi kepercayaan kepada Kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk melakukan perubahan.

”Sekarang masih ada amalan dimana ahli jawatankuasa bahagian (Warisan) dan wakil rakyat (YB) berjumpa dengan saya untuk meminta projek.

”Saya katakan kepada mereka bahawa cara sebegitu perlu diubah. Kita perlu hentikan budaya untuk mendapatkan projek. Kita harus memberi fokus kepada usaha melahirkan usahawan agar mereka dapat menjana pendapatan sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perjumpaan Anggota Perkhidmatan Awam dan Pemegang Adat Daerah Semporna, di sini pada Isnin.

Menurutnya, dalam mentadbir negeri memerlukan pendekatan baharu agar kesilapan pemimpin terdahulu tidak berulang.

”Kita belajar daripada kepimpinan Ketua Menteri dahulu. Jangan amalkan apa yang diamalkan oleh pimpinan terdahulu,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau juga menyarankan anggota perkhidmatan awam supaya mengubah amalan dan cara kerja lama dari peringkat atasan hingga bawah supaya penyampaian dasar kerajaan dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Mohd Shafie berkata, amalan dan cara kerja dahulu perlu diubah jika ingin melihat perubahan dalam pelaksanaan sistem pentadbiran negeri yang baharu.

”Kita laungkan mahukan perubahan tetapi ia bukan sekadar satu laungan. Kita tahu bukan mudah untuk melakukan perubahan dalam amalan, tingkah laku dan sikap yang sudah sebati dalam pentadbiran terdahulu.

”Perubahan dalam pentadbiran sekarang perlu ada jika tidak mahu kita berada ditampuk yang lama,” katanya.

Beliau berkata, perubahan dan rombakan turut dilakukan dengan mengharamkan pengeksportan kayu balak secara sementara. Malah, penamatkan kontrak ‘outsource’ syarikat konsesi menguruskan Loji Rawatan Air juga dilakukan.

“Kita tamatkan kontrak outsource supaya jabatan dan agensi kita yang kaya. Kita juga mahu anggota perkhidmatan awam memperbanyakkan kerja dan bukannya banyakkan rasuah,” ujarnya.

Beliau juga mengingatkan agensi awam agar jangan terlibat dengan rasuah. Begitu juga dengan menteri, saya ingatkan mereka supaya jangan mengubah gaya hidup mereka sekiranya mereka tidak mahu ditukarkan,” jelasnya.

Katanya, beliau akan berusaha membayar hutang dan mentadbir negeri ini dengan baik.

Mohd Shafie berkata, rakyat sudah memberi sokongan dengan mengundi kerajaan sekarang.Maka, beliau akan memastikan masalah yang ada dapat ditangani dengan baik.

”Untuk itu, kita kena lakukan sesuatu untuk membawa perubahan. Saya mahu memperbanyakkan amalan berkhidmat.

”Dalam pada itu, beliau juga meminta kerjasama anggota perkhidmatan awam supaya membantu dan menyokong kepimpinan kerajaan hari ini.

”Kerajaan hanya mampu menjayakan dasar kerajaan dengan adanya sokongan daripada anggota perkhidmatan awam yang ada,” ujarnya.