Budak Lelaki 4 Tahun, Wanita Rentung Dalam Kebakaran Di Tenom

5330
Ahli Bomba sedang menemubual dengan jiran mangsa kebakaran di Tenom Rabu pagi. – Gambar ehsan BOMBA Tenom

TENOM: Seorang wanita berumur 21, dan kanak-kanak lelaki, 4, ditemui rentung dalam kebakaran rumah di Kampung Pamaluyan, Tenom, kira-kira 8 pagi Rabu.

Mayat kedua-dua mangsa ditemui anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom sebaik api dipadam sejam kemudian.

Wanita itu dikenali sebagai Nariah Sapperi dan kanak-kanak itu, dikenali Danza Darius.

Menurut jurucakap Bomba, Danza tinggal dengan Nariah, yang kebetulan adalah mak ciknya, dan kedua-dua ibu bapa Danza berkerja di semenanjung.

Jurucakap itu juga memberitahu bahawa Danza sepatutnya ke semenanjung pada 4 Julai ini untuk tinggal dengan ibu bapanya.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Khatizah Rahaban berkata, pihaknya menerima panggikan kecemasan pada 8.08 pagi.

Katanya, anggota tiba di lokasi kejadian setengah jam kemudian dengan jarak perjalanan kira-kira 30 kilometer.

Kebakaran membabitkan rumah PPRT yang terbakar 90 peratus. Mayat mangsa rentung dijumpai di ruang tamu rumah.