‘Bubuk’ Sumber Rezeki Masyarakat Brunei Di Binsulok

Perkampungan nelayan di Kg Binsulok, Membakut.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KIMANIS: Sebut sahaja Kampung (Kg) Binsulok, perkara pertama yang terbayang difikiran penduduk sekitar Kimanis pastinya bubuk dan belacan.

Perkampungan nelayan yang terletak kira-kira 12 kilometer (km) dari Pekan Membakut ini begitu sinonim sebagai kawasan yang membekalkan bubuk dan belacan di daerah yang kebanyakan terdiri daripada suku kaum Brunei ini.

MAYESIN JEKIR

Bagi Mayesin Jekir,53, menjadi pengusaha bubuk  tidak menjanjikan hasil yang tetap kerana musim bubuk ini tidak menentu. Musim bubuk biasanya berlanjutan hanya sekitar tiga hingga empat bulan dalam tempoh setahun. Musimnya bermula pada setiap awal tahun.

Pengusaha bubuk kecil-kecilan ini berkata, beliau mendapatkan bekalan bubuk dari nelayan di kampung itu dan kemudian menjualnya di pasar tamu pada setiap hujung minggu.

Katanya, jika bekalan bubuk terlalu banyak, beliau akan menghantar bekalan bubuk itu kepada kakaknya untuk diproses menjadi belacan dan kemudian dijual di pasaran.

“Aku jual bubuk begini sahaja (mentah) dan bubuk kering. Kadang-kadang jual di Tamu Beaufort setiap hari Sabtu dan Ahad. Kalau tiada tamu, tiada juga berjualan,” katanya ketika ditemui Borneo Today, di sini kemarin.

Mayesin berkata, selain mengusahakan bubuk, beliau turut menjual hasil sawit yang ditanam di kawasan tanah seluas tujuh ekar miliknya.

“Biasanya kami sendiri bawa hasil sawit ini ke kilang yang memproses sawit. Kami bawa dengan menggunakan kenderaan sendiri. Sekarang ini, harga sawit lebih kurang RM300 setiap satu tan jadi bolehlah tambah pendapatan.

“Namun, kebanyakan sawit ini masih muda jadi, tidak banyak pengeluaran dihasilkan. Ada masanya, hasil pengeluaran sawit ini lebih satu tan dan kadang-kadang kurang daripada itu,” jelasnya.

Mengenai kemajuan di kampung itu, Mayesin berkata, sektor pelancongan di Binsulok semakin mula membangun apabila banyak pelancong datang melihat kelip-kelip di situ.

Katanya, dahulu Binsulok kurang membangun dalam sektor pelancongan. Tapi sekarang ini perkembangan sektor itu dilihat semakin baik dan ramai pelancong asing seperti China dan Korea mula datang ke situ.

Namun, kemasukan pelancong asing itu tidak memberi impak secara langsung kepada masyarakat setempat kerana kebanyakan pengusaha resort dan bot bukan disediakan oleh orang tempatan.

Tambahnya, kemudahan infrstruktur di kampung itu juga perlu ditambahbaik. Jambatan kayu yang digunakan sejak bertahun lamanya masih kekal begitu tanpa ada usaha membina jambatan simen.

Katanya, jambatan kayu itu kerap diganti dan itu lebih memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi. Jika perlu, gantilah jambatan itu dengan jambatan simen agar kos penyelenggaraan lebih murah.

SHAHREZA SEHDUN

Sementara itu, bagi Mohd Shahreza Sehdun, 29, yang bekerja sebagai nelayan sejak tiga tahun lalu, bubuk adalah hasil tangkapan utama nelayan di Kg Binsulok.

Namun ia bergantung kepada musim. Biasanya musim bubuk ini pada awal tahun dan setiap tahun memang ada musim bubuk. Jadi, pendapatan nelayan sepertinya sentiasa berterusan.

“Bubuk yang kita tangkap ini akan dijual ke kilang atau kepada mana-mana taukeh (pengusaha) yang menempahnya.

“Kalau ikut dari segi pendapatan, selalu jualan bubuk ini boleh mencecah sehingga RM800 hingga RM900 satu tan. Ada kalanya, tangkapan kami lebih daripada satu tan,” katanya.

Selain menjual bubuk mentah kepada kilang, sebahagiannya akan diproses menjadi belacan untuk dijual di tamu.

Menurutnya, sekiranya bukan musim bubuk, mereka akan menangkap ikan bilis atau dikenali sebagai ‘tusu’ bagi masyarakat setempat.

Shahreza berkata, seperti bubuk, bilik juga dihantar ke kilang atau pengusaha yang sudah menempah bilis.

Ditanya tentang keperluan nelayan di situ untuk memiliki jeti tangkapan ikan secara berpusat, beliau tidak melihat keperluan untuk pembinaan jeti sebegitu.

“Bagi saya lihat kepada keselesaan masing-masing. Macam kami, kami selesa dengan cara sekarang kerana mudah untuk ada jeti di belakang rumah sendiri. Apabila selesai tangkap hasil di laut, kami terus masuk ke rumah,” ujarnya.