Bubarkan ESSCOM Sekadar Khabar Angin, Kata Shafie Apdal

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) masih berfungsi seperti biasa dan dakwaan ianya akan dibubarkan hanya sekadar khabar angin.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, beliau tidak mendengar tentang dakwaan sebegitu, ia hanya sekadar ura-ura sahaja.

“Itu saya tidak dengar…itu hura-hura sahaja,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai khabar angin bahawa agensi keselamatan itu akan dibubarkan oleh kerajaan.

Beliau berkata, kerajaan tidak merancang membubarkan agensi keselamatan itu dan ia masih berfungsi seperti biasa.

ESSCOM ditubuhkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 25 Mac 2013 berikutan krisis pencerobohan di Tanduo Lahad Datu dan Kampung Simunul, Semporna yang mengorbankan 10 anggota keselamatan dan 65 penceroboh.

ESSCOM melibatkan kawasan kawalan keselamatan yang meliputi kawasan seluas 1,400 kilometer di kawasan Pantai Timur Sabah bermula dari Kudat hingga ke Tawau.

ESCCOM menggabungkan kerjasama polis dan agensi keselamatan lain termasuk Angkatan Tentera Malaysia yang melakukan pemantauan dan penguatkuasaan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Pada 25 Mei 2015, DAP Sabah menggesa supaya ESSCOM dibubarkan berikutan kegagalan agensi keselamatan itu dalam menangani dan menyelesaikan krisis keselamatan dan jenayah rentas sempadan yang berlaku di Pantai Timur Sabah itu.

Penasihat DAP Lim Kit Siang sebelum ini juga pernah menggesa supaya ESSCOM dibubarkan kerana ia sebenarnya tidak memiliki sebarang kuasa di Pantai Timur Sabah.

Beliau dipetik berkata ‘ESSCOM patut ditutup sahaja jika selepas RM300 juta wang rakyat dihabiskan untuk menubuhkannya, apa yang boleh dilakukan jika ESSCOM tidak mempunyai kuasa menangani insiden penculikan yang berlaku di Semporna pada April 2014.