Buaya Tembaga Gemparkan Pengunjung Di Pantai Mawilla

4395
Buaya itu digantung dan dibunuh. – Gambar-gambar ihsan Pembaca BorneoToday

LABUAN: Seekor buaya sepanjang lebih kurang enam kaki yang ditemukan oleh pemancing tempatan baru-baru ini mencetuskan gempar dalam kalangan pengunjung lokasi perkelahan Pantai Mawilla.

Susulan kepada penemuan reptilia itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Labuan (Perhilitan) akan memasang tanda amaran di pantai Sawangan Cina, Membedai dan sekitarnya dalam masa terdekat sebagai amaran kepada orang ramai agar sentiasa berhati-hati ‘kawasan berkenaan adalah habitat buaya’.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, objek berkenaan pada mulanya disangka oleh pemancing sebagai batang kayu hanyut, tetapi dipastikan buaya spesis air masin apabila ia mula bergerak.

Namun seperti yang ditularkan, buaya berkenaan itu telah digantung dan dibunuh ekoran kekhuatiran individu yang menjumpainya terhadap serangan keatasnya dan anaknya.

Anggota Perhilitan bergegas ke lokasi dimana buaya itu dijumpai pada jam 10 pagi dan mendapati reptilia itu telah dikubur.

“Pihak kami bergegas ke pantai itu sebaik membaca dan melihat pesanan yang ditularkan melalui Whatsapp dan menggali semula buaya itu untuk tujuan forensik dan pelupusan sama hari juga,” kata anggota perhilitan itu.

Anggota Perhilitan mempercayai reptilia ketika ditemui sedang berjemur dipantai sebagai salah satu tabiat untuk mengubah suhu badannya.