Buaya Ditangkap Di Semporna

SEMPORNA: Seekor buaya berjaya ditangkap pihak berkuasa dalam kejadian di Jeti Balimbang, di sini, petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air Semporna, Faisal Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung meminta bantuan menangkap reptilia itu jam 3.38 petang.

Katanya 6 pegawai dan anggota dari BBP Atas Air Semporna dikerah ke lokasi yang terletak 7 kilometer dari balai.

Turut membantu menangkap haiwan itu, 3 anggota polis dan 4 kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar.

“Pasukan bomba berjaya menangkap seekor buaya yang berada di kawasan Jeti Balimbang bersama anggota PDRM dan Perhilitan Sabah.

“Pemeriksaan dijalankan di sekitar lokasi memastikan tiada kemerbahayaan lain seterusnya operasi ditamatkan jam 4.49 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tiada kecederaan dilaporkan ketika insiden itu.