Buaya Baham Pekerja Di S’kan; Keluarga Kesal Laporan Media

SANDAKAN: Insiden seorang pekerja diserang buaya yang dipelihara di Taman Buaya di sini pada bulan lepas boleh dielakkan sekiranya taman itu dilengkapi Standard Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Dalam kenyataan di sini hari Isnin, Carol, kakak kepada Rudy Francis Angkangon @ Asraf, 35, mangsa dalam kejadian itu menyatakan persekitaran kerja Rudy di taman itu adalah berisiko tetapi tiada keperluan asas keselamatan dikuat kuasa oleh pihak pengurusan.

Rudy tanpa tangan dan kaki kanannya dikatil Hospital pada 27hb Feb, gambar kiri, dan dua minggu sebelum insiden itu, memberi ceramah mengenai burung-burung. Gambar ihsan keluarga Rudy

Pada 20 Feb lepas, Rudy yang merupakan pelatih pertunjukan burung di taman itu putus kaki kanan dan tangan kanan akibat dibaham seekor buaya ketika dia memberikan makanan kepada buaya itu di kolam pertunjukan.

Carol yang mewakili keluarganya berkata mereka juga kesal dengan laporan media mengenai kejadian itu yang tidak tepat dan menunjukkan Rudy sebagai seorang pekerja tidak mahir dan cuai.

Katanya maklumat dan gambar kecederaan yang dialami oleh Rudy ketika insiden itu sepatutnya tidak didedahkan.

“Ada akhbar membuat lakaran animasi mengenai insiden itu dan disalah tafsir, telah menjatuhkan integriti dan karakter profesional Rudy,” katanya.

Menurut Carol, adiknya mempunyai isteri yang sedang mengandung dan mempunyai anak perempuan berusia dua tahun memulakan kariernya bermula 18 tahun lepas sebagai pemandu pelancong.

Beliau berkata Rudy pernah menerima latihan sebagai pelatih pertunjukan hidupan liar di Zoo Lok Kawi Putatan sebelum khidmatnya diperlukan di Mini Zoo Samjaya di sini untuk mengendalikan Cawangan Pendidikan.

Katanya Rudy turut menyumbang bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan dan melindungi hidupan liar menerusi program bersama pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar daerah ini.

Berikutan kejayaan Samjaya dalam program dilaksana cawangan pendidikan, Rudy ditawarkan oleh Taman Buaya Sandakan membantu membangunkan tarikan di taman itu menerusi pendidikan.