Buat Tuntutan Palsu Projek KPDNHEP, Lelaki Didenda RM48,000

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan hari dan denda RM48,000 di Mahkamah Khas Rasuah bagi lapan pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi tuntutan projek Community Drumming di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Tertuduh, Hassan Ho Abdullah, 36, mengaku bersalah terhadap lapan pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi tuntutan projek Community Drumming di bawah Majlis Harga Barang Negara (MHBN) untuk bulan Ogos 2018 yang berjumlah RM24,660 yang dikemukakan kepada KPDNHEP Kudat.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengemukakan dokumen palsu itu pada 27 November 2018 di Pejabat KPDNHEP Kudat.

Secara keseluruhan rasuah yang terlibat dalam projek itu berjumlah RM 172,980.

Untuk itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama.

Hakim Abu Bakar Manat kemudian menjatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM6,000 bagi setiap satu pertuduhan. Jumlah keseluruhan denda yang perlu dibayar RM48,000 dan jika gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara selama 32 bulan.

Tertuduh menyelesaikan bayaran denda tersebut dengan serta-merta hari ini.