‘Botol Susu, Mainan Adam Terbakar Ibu’

Nurul Hikmah mengemas pakaian yang diterima hasil sumbangan orang awam di PPS Dewan Sri Serigai, Putatan.

PUTATAN: “Hati ibu mana tidak sedih apabila anak tiba-tiba bertanya mana botol susu dan mainannya selepas kejadian kebakaran petang kelmarin,”.

Demikian luahan Nurul Hikmah Hikmad, 29, apabila anak bongsu yang berusia lima tahun menanya ‘ibu mana botol susu, mainan Adam terbakar kan ibu’.

“Anak sekecil itu hanya mengetahui dunia kecil mereka. Sebagai ibu, saya pasti merasa terbeban dengan kebakaran yang memusnahkan semua harta benda kami termasuk barangan persekolahan anak-anak.

“Anak sulung saya yang kini Darjah Enam cukup risau bagaimana dia mahu mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sedangkan semua buku sekolah musnah terbakar,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Sri Serigai hari ini.

Menurutnya, semasa kebakaran dia bersama anak-anaknya keluar membeli barangan keperluan harian dan tidak sampai sejam, dia menerima panggilan telefon dari orang rumah memaklumkan mengenai kebakaran itu.

Kejadian kebakaran di Kampung Meruntum Putatan itu memusnahkan 35 buah rumah membabitkan 221 orang daripada 45 keluarga. Namun, hanya 81 orang sahaja yang ditempatkan di PPS Dewan Sri Serigai dan Dewan Sri Keramat.

Menurutnya, beberapa helai baju baharu untuk dipakai semasa Hari Raya Aidilfitri pun belum sempat dipakai oleh anak-anak.

“Memang sedih kerana dalam orang bergembira meraikan Aidilfitri biarpun dalam suasana norma baharu tapi kami terpaksa berduka berdepan dengan situasi yang sukar ini.

“Kami sedikit kecewa kerana dipercayai rumah pertama yang terbakar tidak memaklumkan jiran-jiran lain sebaliknya melarikan diri begitu sahaja.

“Kita berhati-hati dalam menjaga barangan elektrik untuk mengelak litar pintas tapi disebabkan kecuaian orang lain, ramai yang menjadi mangsa,” ujarnya.