Bot Tunda Karam, Tiga Kru Hilang di Kinabatangan

SANDAKAN: Tiga kru termasuk kapten kapal dilaporkan hilang apabila bot tunda yang dinaiki dipercayai karam di perairan Kuala Kinabatangan Besar, semalam.

Bot tunda Ever Winner yang karam itu dikendalikan oleh seorang kapten dan tiga kru difahamkan sedang menunda sebuah tongkang (barge) Ever Eternity tanpa muatan bersama seorang lagi kru. Bot tunda itu disyaki mengharungi cuaca buruk sebelum disedari hilang oleh syarikat pengangkutan bot tersebut pada 4 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kapten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, maklumat mengenai kejadian itu diterima pada 4.20 petang semalam melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu. Operasi mencari dan Menyelamat (SAR) diaktifkan pada 5.20 petang.

Ketua jurutera bot, Asman Mohamad, 31, terselamat kerana berjaya berenang ke pantai berhampiran.

Manakala kapten bot, Mohamad Mal, 49, serta dua kru Mohd Hafiz Isyra Nagrah, 22, dan Azlan Hassan, 23, masih belum ditemui.

Kru tongkang Ever Eternity, Roslie Antala, 48, juga ditemui selamat terkandas di kawasan cetek berhampiran pesisir muara Kinabatangan Besar selepas tali tunda tongkang tersebut putus dalam kejadian tersebut.

“Menurut maklumat ketua jurutera, beliau tercampak keluar dari bot akibat daripada cuaca buruk dan berusaha berenang ke daratan terdekat.

“Manakala tiga lagi kru disyaki masih terperangkap di dalam bot sebelum hilang dari pandangan berikutan cuaca yang gelap. Panggilan komunikasi dengan bot terbabit juga tiada jawapan dan kita syaki bot tersebut tenggelam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hari ini, SAR yang memasuki hari kedua dipecahkan kepada enam sektor pencarian dengan keluasan meliputi 211 batu nautika persegi.

Operasi SAR ini melibatkan sembilan aset laut daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tugas Bersama, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Zainudin turut menyeru orang ramai yang ada menemui sebarang petunjuk berkaitan operasi carilamat agar segera menyalurkan maklumat terus ke bilik operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian MERS 999.