Bot Rosak, Bomba Selamatkan 7 Pelancong, 2 Jurumudi

SEMPORNA : Tujuh pelancong dan dua jurumudi bot diselamatkan bomba selepas bot dinaiki mengalami kerosakan enjin, di perairan Pulau Bohey Dulang, di sini, petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air Semporna, Faisal Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu jam 3.10 petang.

Katanya, sepasukan 5 pegawai dan anggota bomba dari BBP atas air Semporna yang menggunakan sebuah bot bergegas ke lokasi kejadian yang jaraknya kira-kira lima kilometer dari balai.

“Sebuah bot pelancong mengalami kerosakan enjin di Perairan Bohey Dulang dan terdapat 7 orang pelancong serta 2 orang jurumudi bot terlibat.

“Pasukan bomba bertindak memindahkan semua mangsa ke Bot Kevlar dan menarik bot pelancong seterusnya dihantar ke Resort Lato-Lato,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Faisal, kesemua mangsa dalam keadaan selamat dan operasi ditamatkan jam 4.17 petang.