Bot Pukat Tunda Tempatan Ditahan APMM Berdekatan Tanjung Nosong

Oleh BORNEOTODAY
LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah Maritim Labuan (DM14) telah menahan sebuah bot nelayan tempatan di kedudukan lebih kurang 3 batu nautika Timur Laut Tanjung Nosong, Kuala Penyu, Sabah pada jam kira-kira 5.55 Isnin pagi.

Kapal peronda KM Bistari yang ditugaskan membuat rondaan dan pemantauan telah memeriksa dan menahan sebuah bot nelayan tempatan yang sedang menunda pukat dalam keadaan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat enam orang kru bot nelayan termasuk tekong berumur dalam lingkungan 20 hingga 45 tahun berada di bot tersebut. Kesemua mereka adalah warganegara Indonesia.

Pengarah Maritim Daerah Labuan, Kepten Maritim Che Adnan Md. Isa berkata, “bot tersebut ditahan kerana melanggar syarat sah lesen dibawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (b) iaitu menangkap ikan kurang daripada 6 batu nautika daripada kawasan pantai.

“Bot tersebut bersama tekong serta awak-awak ditahan dan diiringi ke Jeti APMM Labuan untuk siasatan lanjut. Hasil tangkapan ikan pelbagai jenis di atas bot tersebut dianggarkan lebih kurang 500 kilogram.”

Tambahnya lagi semua pengusaha bot nelayan haruslah mematuhi undang-undang dan tidak melanggar sebarang syarat yang termaktub di dalam lesen.

Beliau juga mengingatkan agar semua pengusaha bot tidak mementingkan keuntungan semata-mata sehingga mengabaikan nasib komuniti nelayan persisir pantai khususnya di zon A.

Tindakan menunda pukat sedemikian boleh menjejaskan pendapatan nelayan-nelayan pesisir pantai disamping merosakkan ekosistem pembiakan ikan di kawasan tersebut.

Maritim Malaysia sentiasa mengambil berat atas sebarang aduan yang diterima dan sentiasa memantau aktiviti bot-bot nelayan serta akan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha bot yang mengambil peluang untuk menceroboh kawasan zon menangkap ikan atau kesalahan lain yang menyalahi syarat sah lesen.