Bot Peronda Karam, Anggota Tentera Berjaya Diselamatkan

KOTA KINABALU: Tujuh anggota Markas Angkatan Tentera Bersama (ATB) 2 berhadapan detik cemas apabila bot peronda dinaiki karam di perairan Pulau Nunuyan, Sandakan semalam.

Walau bagaimanapun, kesemua anggota tentera itu berjaya diselamatkan oleh bot peronda lain.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, bot peronda itu dilaporkan karam akibat dipukul ombak semasa tiba di perairan Pulau Nunuyan, kira-kira pukul 11 pagi semalam.

“Bot peronda Viper 7 itu dikatakan mula bertolak dari Pulau Bakungan Kecil ke jeti Markas ATB 2 Batu Sapi bagi mengisi minyak dan keperluan logistik, kira-kira pukul 10 pagi.

“Namun, apabila bot peronda itu tiba berhampiran Pulau Nunuyan, ia telah dipukul ombak besar dan menyebabkan bot berkenaan karam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kesemua mangsa berjaya diselamatkan kira-kira pukul 2.50 petang oleh sebuah bot ronda Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 15 dan sebuah bot PSC 66.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke markas operasi Pasukan Polis Marin Sandakan untuk rawatan seterusnya proses dokumentasi,” katanya.