Bot Pam Meletup Di Semporna, Mangsa Belum Dipastikan

SEMPORNA: Mangsa terlibat dalam kejadian letupan bom pam yang dilaporkan berlaku di perairan Pulau Tatagan masih belum dapat dipastikan.

Ketua Polis Daerah, Superitendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada pukul 6.08 petang kelmarin.

Bagaimanapun, pihaknya menerima laporan mengenai insiden letupan itu pada 11.38 pagi tadi yang dibuat oleh pegawai pemuliharaan marin, Tabung Alam Sedunia (WWF).

Kejadian letupan didengari oleh seorang nelayan tempatan yang sedang memukat ikan kira-kira 200 meter daripada lokasi letupan berlaku.

Pegawai WWF berusia 33 tahun memaklumkan, beliau menerima pesanan menerusi aplikasi Whatsapp daripada rakan sekerjanya pada jam 9.20 pagi tadi berkenaan kejadian letupan sebuah bot pam.

Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah bersama Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia, Pasukan Bomba dan Penyelamat (Bomba Atas Air) serta Taman Taman Sabah bergerak ke lokasi kejadian untuk mengesahkan kejadian tersebut.

“Hasil temubual ke atas saksi, dia mengatakan ternampak kejadian letupan serta terdengar bunyi letupan kira-kira 200 meter dari lokasinya memukat ikan.

“Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku kira-kira 8.58 batu nautika daripada Pekan Semporna. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) juga telah dijalankan di kawasan seluas radius 2 batu nautika dari lokasi kejadian.

“Namun, sehingga sekarang pasukan operasi belum menjumpai sebarang bot yang meletup mahupun mangsa atau penumpang yang menaiki bot berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Farhan berkata, operasi SAR kini sedang giat dijalankan oleh lima agensi bersama nelayan tempatan.

Pihak polis menasihatkan mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga tampil ke IPD atau balai polis berhampiran untuk melaporkan kehilangan. Saksi yang berada berhampiran lokasi kejadian juga diharap tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan.

Sebarang maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes Inspektor Muhammad Nur Faez Hazreeq Abdullah di talian 0198139851 atau 089782020.