Bot Nelayan Asing Ditahan Maritim Malaysia Berhampiran Pulau Lankayan

mm
Bot nelayan asing yang ditahan oleh Maritim Malaysia awal Sabtu pagi dekat pulau Langkayan.

SANDAKAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah Maritim 17 Sandakan (DM 17) telah menahan sebuah bot nelayan asing bersama tiga awak-awak termasuk tekong warganegara Filipina lebih kurang 7 batu nautika dari tenggara Pulau Lankayan, semalam (Sabtu).

Pengarah Maritim DM 17, Kepten Maritim A. Razak bin Abd Rahman berkata, Kapal Maritim Malaysia yang melakukan rondaan Ops Pluto Timur telah memeriksa sebuah bot nelayan tanpa nombor pendaftaran kira-kira pukul 07.15 pagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati seramai tiga awak-awak termasuk tekong warganegara Filipina yang berumur dalam lingkungan 36 hingga 59 tahun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah manakala lesen bot juga gagal dipamerkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini Ahad.

Menurutnya, bot tersebut disyaki cuba melakukan aktiviti perikanan haram berikutan penemuan sebidang pukat dipercayai untuk kegunaan menangkap ikan.

“Walaubagaimanapun, tiada sebarang hasil laut yang ditemui di atas bot tersebut disebabkan awak-awak tidak sempat menurunkan pukat berikutan tindakan pantas anggota Maritim Malaysia menahan mereka dari mencuri khazanah laut kita,” tambah Razak.

Bot nelayan tersebut telah diiring masuk ke Jeti DM17 untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia dan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.