Bot Meletup, 7 Cedera

Oleh ARDYHANSAH AMAT
SEMPORNA: Tujuh pekerja sebuah pusat pelancongan cedera dalam kejadian letupan sebuah bot berhampiran Jalan Kastam, di sini, semalam.

Menurut sumber, kejadian berlaku pada sebelah pagi itu menyebabkan dua daripada mangsa kritikal manakala lima lagi separa kritikal.

Difahamkan, ketika kejadian, semua mangsa lelaki berumur antara 18 hingga 36 tahun itu berada dalam bot berkenaan.

Empat daripada sedang melakukan kerja pemindahan petrol dari sebuah tangki minyak bot yang bercampur dengan air.

Bagaimanapun, ketika kerja pemindahan dilakukan, berlaku satu letupan kecil secara tiba-tiba pada tangki minyak tersebut dipercayai akibat wap petrol menyebabkan sebahagian mangsa terhumban ke laut.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa melecur pada beberapa anggota badan termasuk dua daripadanya kritikal.

“Semua mangsa dihantar ke Hospital Semporna sebelum enam daripadanya dirujuk ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut,” katanya.

Difahamkan empat daripada mangsa adalah warga tempatan manakala selebihnya pendatang asing tanpa izin.