Bot Karam, Seorang Mangsa Masih Hilang

Oleh ARDYHANSAH AMAT
SEMPORNA: Seorang bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki bersama seorang rakannya karam di perairan Pulai Mabul, dekat sini, semalam.

MAHMUR AJAE

Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, mangsa Mahmur Ajae, 45, keluar memancing bersama Salimin Saludin, 44, di lokasi kejadian sebelum bot mereka karam.

Pengarah Zon Maritim Semporna Komander Maritim Norrimi Hassan menerusi kenyataan media, hari ini, memaklumkan hanya Salimin berjaya ditemukan selamat oleh penduduk kampung ketika hanyut berhampiran Pulau Mabul sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa.

“Berdasarkan maklumat awal yang diterima kedua-dua mangsa adalah bekas anggota TLDM.

“Mereka mula keluar memancing bersama pada Jumaat lalu, sebelum bot mereka karam, semalam,” katanya.

Selain Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan TLDM.

Menurut Norrimi lokasi pencarian membabitkan lima sektor dengan keluasan 101 batu nautika persegi.

“Ketika ini SAR masih giat dilakukan,” katanya.