Bot Karam: Koperal Asman Korban Diri Untuk Selamatkan Orang Lain

599
Anggota PGA yang hilang di laut selepas menyelamatkan mangsa bot karam.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
SANDAKAN: Meskipun keselamatan diri sendiri terancam akibat bot yang dinaiki hampir karam, anggota Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA), Koperal Asman Ongkal, 40, masih sempat membantu  menyelamatkan penumpang lain untuk berpaut pada bot-bot  yang berada berhampiran.

Didorong oleh semangat keperwiraan dalam diri sebagai anggota polis, Asman melakukan sedaya mungkin untuk memastikan orang awam dapat diselamatkan daripada bahaya.

Akhirnya, atas pertolongannya, seramai 28 pelajar serta lapan orang awam di dalam bot berkenaan selamat, namun Asman sendiri masih belum ditemukan selepas hilang di laut berhampiran Jeti Pasar Umum Sandakan.

Kapal yang dilanggar oleh bot yang dinaiki 37 penumpang ketika dalam perjalanan dari Pulau Kampung Tanjung Aru menuju ke Jeti Pasar Umum Sandakan.

Terdahulu pada kira-kira pukul 5.40 pagi ini, Asman bersama 36 penumpang lain menaiki bot berkenaan dari Kampung Pulau Tanjung Aru menuju ke jeti, namun perjalanan itu bertukar tragedi apabila bot tersebut melanggar sebuah kapal tunda sehingga karam.

Berikutan kejadian itu, 14 mangsa dikejarkan ke Hospital Duchess Of Kent untuk menerima rawatan dan tiga daripada mangsa dilaporkan kritikal termasuk juragan bot.

Setakat pukul 1 petang ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilancarkan oleh beberapa agensi keselamatan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sandakan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung.

Anggota bomba melakukan tinjauan dalam operasi mencari mangsa yang hilang di laut.

Sehingga kini, pihak berkuasa masih belum menemukan Asman yang tenggelam di perairan itu dipercayai pada kedalaman kira-kira 30 meter.

Sementara itu, suasana hiba menyelubungi kawasan Jeti Pasar Umum Sandakan apabila ahli keluarga Asman termasuk isterinya, Roslina Sari berada di situ dengan harapan agar anggota polis itu dapat dijumpai.

Roslina kelihatan hanya mampu menangisi, redha dan berserah kepada takdir tentang nasib menimpa suaminya itu.

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong meninjau keadaan mangsa bot karam di Jeti Pasar Awam Sandakan.

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong turut berada di pasar tersebut bagi meninjau operasi menyelamat dan turut meluangkan masa memberi kata-kata semangat kepada Roslina dan ahli keluarganya serta mangsa-mangsa lain yang terselamat dan ditempatkan di situ untuk menerima rawatan diberikan pasukan kesihatan.

Vivian berkata, beliau akan melakukan sebaik mungkin untuk membantu meringankan beban yang terpaksa dilalui oleh ahli keluarga mangsa termasuk isterinya yang masih trauma dengan tragedi berkenaan.

“Semasa di hospital saya diberitahu mangsa yang hilang adalah PGA yang telah menolong mereka, menyelamatkan beberapa budak yang dalam bot juga.

Isteri mangsa (kanan).

“Sebab itu saya susah hati sebab ada hero macam ini tetapi sampai sendiri dia tidak dapat, kami tidak tahu lagi saya di sini juga harap pasukan pencarian mereka sedaya upaya mencari mangsa tersebut,” kata Vivian.

Ketua SAR, Pegawai Memerintah Kapal Maritim Kota Belud mewakili  Pengarah Maritim Zon Sandakan, Leftenan Komander Maritim Mohd. Hafidz Mohd. Tajuddin berkata, SAR dilakukan di kawasan seluas dua batu nautika dari Jeti Pasar Umum Sandakan.

Jelas beliau, sebanyak 11 aset milik agensi keselamatan telah digerakkan manakala 15 bot nelayan tempatan turut terlibat menghulurkan bantuan.