Bot Karam: Juragan Akan Didakwa Jika Berlaku Kecuaian

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
SANDAKAN: Tragedi bot karam di perairan berhampiran Jeti Pasar Umum Sandakan akan disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana melibatkan kematian berbanding Seksyen 280 kanun yang digunakan  sebeum ini.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Hamin berkata, siasatan menyeluruh akan dilakukan terutama jika wujud aspek kecuaian tekong sehingga berlaku tragedi tersebut.

“Berkaitan dengan kes ini, mungkin kami akan tukar balik kepada Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana melibatkan kematian. Sebelum ini kita siasat dibawah seksyen 280 Kanun Keseksaan.

“Bergantung dengan siasatan kita, jika ada bukti mengenai kecuaian tekong itu, jurugan bot itu ada membuat kesalahan, kita akan dakwa. Kita akan rujuk Ketua Polis Negara,” katanya kepada pemberita di pekarangan Hosital Duchess Of Kent semalam.

Kelmarin sebuah bot penambang yang sesak dengan 37 penumpang karam pada kira-kira pukul 5.40 pagi selepas berlanggar dengan kapal tunda di perairan tersebut.

Tragedi itu mengorbankan seorang penumpang yang juga anggota polis, Koperal Asman Ongkal, 37, yang hilang di laut selepas membantu menyelamatkan mangsa-mangsa lain.

Mayat mangsa ditemukan kira-kira 300 meter dari lokasi perlanggaran oleh nelayan yang terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat.

Sementara itu, Mohd. Azhar berkata, jumlah 37 penumpang di dalam bot adalah keterlaluan kerana bot yang digunakan sepatutnya hanya boleh memuatkan maksimum 12 atau 14 penumpang.

Justeru tegasnya, siasatan menyeluruh perlu termasuk juga tentang penggunaan jaket keselamatan yang memang diwajibkan mengikut peraturan.

“Saya nasihat kepada penambang bot ini untuk memastikan peraturan-peraturan dipatuhi yang telah diterapkan oleh kerajaan yang mana memastikan bot-bot penambang ini perlulah ada jaket keselamatan dan juga pastikan bot yang dinaiki jangan melebihi kapasiti yang telah ditetapkan.

“Jika didapati tidak memakai jaket keselamatan mungkin satu kesalahan yang boleh dikenakan peraturan.dan nasihat kepada jurugan-jurugan yang membawa penumpang-penumpang, pastikan mereka penumpang memakai jaket keselamatan.

“Bot itu panjang, kapasitinya hanya 12, 14 orang. Jadi pada kejadian itu telah dimuatkan kepada 37 orang termasuk jurugan, jadi ini telah melebihi had yang telah ditetapkan dalam lesen pengangkutan laut,” tegas beliau.