Bot Karam: Garis Panduan Keselamatan Baharu Akan Ditetapkan

43

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Kerajaan negeri akan melihat semula laluan pendaratan digunakan bot penumpang untuk membawa penduduk dari pulau ke bandar ini dan menetapkan garis panduan keselamatan yang baharu.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Arifin Asgali menjelaskan, kajian itu penting bagi memastikan tiada gangguan daripada kapal lain di laluan pendaratan bot penumpang.

Beliau berkata, sebelum ini sudah wujud garis panduan bagi laluan bot dan kapal, namun ada antaranya yang tidak mematuhi peraturan.

“Kita minta nasihat Maritim (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) untuk lihat semula laluan ini sebab kita tahu tempat ini khusus untuk pendaratan kebanyakan penumpang yang tinggal di kawasan kepulauan.

“Semestinya ada ‘guideline’ untuk tentukan keselamatan di kawasan ini… saya dimaklumkan oleh Maritim, laluan itu ada cuma masih ada tidak mengikuti peraturan, namun selepas ini kita akan kuatkuasakan peraturan supaya semua mematuhi,” katanya di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki dan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Wong Foo Tin.

Arifin berkata, kerajaan negeri juga meminta MPS untuk melihat menyediakan kemudahan bilik persalinan khusus untuk pelajar dari pulau menukar pakaian.

Ini kerana, jelasnya, kemungkinan ada antara mangsa tragedi bot karam tidak menggunakan jaket keselamatan disebabkan bimbang pakaian sekolah mereka kotor.

Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong turut menjelaskan, kerajaan negeri juga bersedia untuk membantu keluarga anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terkorban dalam insiden bot terlanggar kapal tunda kelmarin serta semua mangsa yang terbabit dalam waktu terdekat.