Bot Karam: Anggota SAR Temui Satu Jaket Keselamatan Di Perairan Brunei

sektor2

KOTA KINABALU – Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa bot karam yang masih hilang di Sabah, menemui satu jaket keselamatan di perairan Brunei dalam operasi yang masuk hari ke-11, semalam (Selasa).

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan, Kapten Maritim Abdul Rahim Ramli berkata objek itu dikesan oleh kapal Kapal Diraja Brunei (KDB) Darulaman pada pukul 3.20 petang di 80 batu nautika barat dari perairan Pulau Mengalum.

“Jaket keselamatan itu tertera tulisan tangan SJN 00658 dan berwarna oren. Bagaimanapun kita belum dapat memastikan sama ada objek itu mempunyai kaitan dengan kejadian bot karam itu.

“Jaket keselamatan itu akan diserahkan kepada pihak polis untuk proses pengecaman,” katanya kepada pemberita di sini, hari Rabu.

Beliau berkata berikutan penemuan itu, setakat ini anggota SAR telah menemui empat jaket keselamatan sejak operasi itu dilaksanakan.

Abdul Rahim berkata operasi SAR yang masuk hari ke-12 hari ini memberi tumpuan kepada keluasan kawasan 1,475 batu nautika persegi di perairan Kota Kinabalu.

Katanya, berikutan penemuan objek itu semalam pihaknya telah memperluaskan kawasan pencarian berbanding hanya 1,375 batu nautika semalam.

“Operasi SAR hari ini melibatkan 350 anggota dengan 12 aset masing-masing 11 kapal dan bot serta dua pesawat. Operasi pencarian masih melibatkan perairan Sabah dan Miri, Sarawak serta Brunei,” katanya

Dalam tragedi 28 Jan lepas, bot pelancong jenis katamaran yang membawa 28 pelancong warga China dan tiga anak kapal, karam dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar semasa dalam perjalanan ke Pulau Mengalum.

Setakat ini 26 mangsa telah dijumpai termasuk empat yang maut.