Bot Karam: 9 Penumpang Termasuk 5 Kanak-Kanak Diselamatkan

SEMPORNA : Sembilan penumpang termasuk lima kanak-kanak menempuh detik cemas apabila bot dinaiki karam dalam insiden di hadapan Jeti Pelancongan Semporna, hari ini.

Kejadian berlaku ketika kesemua mangsa dipercayai dalam perjalanan menuju ke Kampung Bangau-Bangau.

Bagaimanapun kesemua penumpang bot berjaya diselamatkan pasukan bomba dengan bantuan orang ramai.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Sabah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.59 pagi.

Katanya, sepasukan lima pegawai dan anggota bersama sebuah bot penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Atas Air Semporna bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 50 meter dari balai.

“Terdapat sembilan orang mangsa membabitkan dua lelaki, dua wanita dan lima kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Operasi menyelamat ditamatkan 10.39 pagi tadi.