Bot Bawa Penumpang Lebih Muatan Ditahan

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim
Tawau menahan sebuah bot tempatan yang membawa penumpang secara berlebihan dan melanggar prosedur operasi standard(SOP) Pelan Pemulihan Negara(PPN), pagi kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Siva Kumar A/L Vengadasalam berkata, bot tersebut dikesan bergerak dari Jeti CIQ Tawau menuju ke Pulau Sebatik dengan membawa penumpang berlebihan dan telah ditahan untuk pemeriksaan oleh bot ronda Zon Maritim Tawau yang sedang melaksanakan rondaan Op Sejahtera/Op Cegah PATI Selatan Covid-19 kira-kira 11.50
pagi kelmarin.

Pemeriksaan mendapati bot tersebut berdaftar dan telah membawa penumpang melebihi kapasiti yang dibenarkan.

Bot dikendalikan oleh seorang juragan warga tempatan berumur 29 tahun itu membawa 33 penumpang termasuk empat kanak-kanak serta mengabaikan SOP PPN yang masih lagi berkuatkuasa.

Bot serta juragan terbabit diiring masuk ke jeti Maritim Malaysia Tawau untuk siasatan lanjut.

Kes tersebut diserahkan kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) dan disiasat dibawah Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002 kerana melanggar syarat sah lesen serta turut dirujuk kepada IPD Tawau dibawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana melanggar SOP PPN.

Orang ramai boleh membuat aduan kecemasan dan menyalurkan maklumat jenayah di perairan Tawau ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752115 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.