Borang A Dikeluarkan Untuk Semua Wanita Yang Melahirkan Di HWKK

2048
DR TAN BEE HWAI

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Isu mengenai pengeluaran Borang A seperti yang ditularkan dalam laman Facebook tidak seharusnya timbul kerana borang itu memang diwajibkan untuk semua wanita yang melahirkan anak di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (HWKK) Likas.

Pengarah HWKK Likas Dr Tan Bee Hwai berkata, beliau agak hairan mengapa pengeluaran Borang A itu harus dijadikan isu walhal, borang berkenaan memang diberikan kepada semua wanita yang melahirkan anak di situ tidak kira sama ada mereka warganegara mahupun bukan warganegara.

“Tanggungjawab pihak hospital adalah untuk memastikan setiap kelahiran di hospital itu didaftarkan melalui Borang A.

Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas.

“Kita tidak membezakan kewarganegaraan seseorang ketika menerima pesakit. Bagi kami, apa yang penting adalah keselamatan ibu dan bayi semasa melahirkan,” katanya ketika dihubungi BorneoToday, di sini pada Khamis.

Tan berkata, pihak hospital tidak menetapkan sebarang kriteria sama ada pesakit mempunyai Kad Pengenalan atau Pendatang Tanpa Izin dalam pemberian Borang A.

Katanya, isu ini timbul mungkin kerana orang di luar tidak faham tentang prosedur pemberian Borang A yang dilakukan di hospital. Untuk makluman, berbekalkan maklumat dalam Borang A itu barulah ibu bapa boleh ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membuat pendaftaran sijil kelahiran.

Adalah menjadi tanggungjawab JPN untuk menyemak segala dokumen berkaitan. Jadi terpulang kepada JPN untuk memberi sijil kelahiran berdasarkan dokumen yang dikemukakan.

Dalam kenyataan yang tular dalam laman Facebook, dikatakan wujud Sindiket Borang A di HWKK Likas atas arahan pihak atasan.

Kenyataan yang ditularkan itu menyatakan Borang A hanya diberi kepada mereka yang ada IC, tetapi tidka kepada Pendatang Tanpa Izin (PTI).

Tetapi baru-baru ini pentadbiran hospital bingung kerana terdapat arahan pihak atasan untuk memberi Borang A kepada PTI yang pernah masuk bersalin, biarpun sudah bertahun lama tidak membayar bayaran masuk wad.

Dalam hal ini,mereka menggunakan nama Ketua Menteri sebagai jaminan untuk mendapatkan Borang A.