
SANDAKAN: Seorang budak lelaki berusia tiga tahun yang terperangkap dalam mesin basuh terpaksa dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba dan penyelamat di rumah Program Perumahan Rakyat Sungai Manila dekat sini, Isnin.
Kaki kanak-kanak itu tidak dapat dikeluarkan dari bahagian pengering ketika bermain di dalam mesin basuh manual itu.
Ketua Zon Bomba dan Penyelamat Sandakan Anddre Andrew berkata pihaknya menerima panggilan pada 10.43 pagi dan mengerahkan sembilan pegawai dan anggota bomba ke lokasi kejadian.
Katanya kanak-kanak itu Mohd Azam Razlan berjaya diselamatkan pada kira-kira 11 pagi dan hanya mengalami lebam di kakinya.