Bomba Selamatkan Lelaki Jatuh Gaung Sedalam 70 Meter

TUARAN : Pasukan bomba menyelamatkan seorang lelaki yang terjatuh ke dalam gaung sedalam 70 meter di rumahnya di Kampung Longkou Baru, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa berusia 38 tahun hanya cedera ringan.

Lelaki berkenaan disedari terjatuh ke dalam gaung oleh keluarganya sebelum menghubungi bomba pada jam 3.24 pagi untuk bantuan mencari berikutan keadaan yang gelap.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sepasukan 10 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian bersama kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba bertindak membuat pencarian di sekitar kawasan berkenaan.

“Mangsa ditemui oleh pasukan bomba dalam keadaan selamat dan hanya mengalami cedera ringan.

“Mangsa kemudiannya diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS dan seterusnya diserahkan kepada ambulans untuk rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi bomba ditamatkan pada jam 5.30 pagi.