Bomba Ambil Masa 3 Jam Alih Pokok Tumbang Di Jalan Tun Fuad Stephen

Kejadian pokok tumbang di Jalan Tun Fuad Stephen pada 8 pagi Khamis. – Gambar ehsan pengguna Twitter

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Walau tiada kemalangan jiwa dan kerugian harta benda dilaporkan, kejadian pokok tumbang di Jalan Tun Fuad Stephen mengambil masa tiga jam untuk dialihkan sepenuhnya.

Kejadian itu menyebabkan lalulintas di kawasan berkenaan sedikit terjejas pada awal pada Khamis.

Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan II Abdul Majid Damang berkata, pihak Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8 pagi.

Dengan itu, 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan dibantu sembilan anggota BBP Lintas bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja pengalihan pokok.

Beliau berkata, operasi pemotongan dan kerja-kerja mengalihkan pokok tumbang yang bermula pada 8.17 pagi itu dijalankan dengan kerjasama anggota Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

Katanya, operasi pemotongan pokok dilakukan dengan menggunakan mesin penebang pokok dan peralatan khas lain.

Proses pengalihan pokok berjaya ditamatkan pada 11.20 pagi setelah tiga jam kerja-kerja pemotongan dilakukan.

Anggota bomba memulakan operasi mengalihkan pokok tumbang di Jalan Tun Fuad Stephens.

Abdul Majid berkata, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan tiada sebarang kerosakan harta benda mahupun kenderaan awam yang terlibat ketika pokok berkenaan tumbang.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin sebelum ini sudah mengarahkan Jabatan Landskap melakukan pemantauan berhampiran kawasan bukit berdekatan Dewan Masyarakat itu.

Ketika itu pokok di kawasan berkenaan sedikit condong disebabkan akarnya dipotong. Namun, kontraktor Sabah Electricity Sdn Bhd menafikan terlibat dalam pemotongan akar pokok ketika menjalankan kerja-kerja di kawasan berkenaan.