Boleh Tangkap Ikan, Tetapi Berlesen

Oleh ARDYHANSAH AMAT
LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) Sabah menyambut baik pengumuman kerajaan pusat yang membenarkan penggiat sektor perikanan menjalankan aktiviti mereka termasuk membabitkan penghantaran.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Kementerian Pertahanan yang membenarkan operasi bagi sektor perikanan dan pertanian termasuk membabitkan pengangkutan bekalan bahan mentah berkenaan dari satu lokasi ke lokasi lain sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dalam operasi PPM, selain melaksanakan PKP, kami tetap memperkasa perundangan laut sedia ada.

“Contohnya, jika nelayan keluar menangkap ikan tanpa lesen perikanan, ia tetap dianggap melanggar peraturan sedia ada,” katanya ketika dihubungi Borneo Today, di sini baru-baru ini.

Tambahnya, jika tidak mempunyai lesen, bermakna mereka tidak tertakhluk kepada pelepasan yang diberikan kerajaan.

“Ini bermakna mereka tertakhluk kepada peraturan PKP dan boleh dikenakan tindakan perundangan.

“Bagaimanapun, bagi nelayan tradisional atau kampung, budi bicara dan pertimbangan sewajarnya perlu diambil kira,” katanya.

Ini kerana, PPM sedia maklum kesukaran dialami sepanjang pelaksanaan PKP, termasuk hilang punca pendapatan sedia ada atau keperluan mencari sumber makanan.

“PPM akan memastikan nelayan berkaitan mematuhi arahan PKP seperti menangkap ikan tidak jauh dari kediaman, penjarakkan sosial dan sebagainya.

“Selain itu, bagi kawasan pantai timur Sabah, PPM perlu memastikan pemantauan jenayah rentas sempadan diteruskan,” katanya.

Tambah Mohamad Pajeri, pihak berkuasa menyedari apabila PKP dilaksanakan yang membabitkan penutupan laluan masuk di sempadan perairan negara, maka aktiviti penyeludupan di laluan tikus pasti meningkat.

“Justeru, PPM berganding bahu dengan dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) meningkatkan kawalan di perairan Sabah bagi memastikan tiada kemasukan dari negara jiran yang juga berpotensi menyumbang kepada penyebaran virus Covid-19,” katanya.

Mohamad Pajeri berkata, pihaknya mendapati ketika ini berlaku kekurangan bekalan rokok kretek di beberapa daerah pantai Timur termasuk Tawau, Lahad Datu dan Semporna menunjukkan kesan kawalan ketat di sempadan perairan.