Negeri Sembilan FC (NSFC) gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri dan terpaksa berputih mata di hadapan penyokongnya.
Sebaliknya, pemain import Sabah dari Korea Selatan, Park Tae-su muncul wira buat Sabah FC apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan.
Tae-su membolehkan skuad The Rhinos meraih tiga mata berharga di tempat lawan apabila memanfaatkan sepakan percuma jarak jauh Jackson De Souza untuk menanduk masuk gol kemenangan Sabah pada minit ke-61 sekali gus meraih tiga mata berharga untuk dibawa balik ke Negeri Di bawah Bayu.
Kejayaan itu menyaksikan Sabah yang dibimbing bekas pengendali skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee berjaya mengumpul 22 mata, memintas Negeri Sembilan di tangga kedua carta Liga Super.
Perlawanan di tempat lawan malam tadi menyaksikan kedua-dua pasukan saling mengatur serangan sebaik wisel ditiupkan pengadil perlawanan dalam usaha menjaringkan gol awal.
Pasukan tuan rumah mendapat peluang kedua untuk memecahkan kebuntuan jaringan pada minit ke-24 namun hantaran Gustavo Almeida ke dalam kawasan gol, gagal dimanfaatkan pemain Negeri Sembilan.
Separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan.
Sabah akhirnya berjaya memecah kebuntuan menerusi jaringan Tae-su pada minit ke-61, menewaskan penjaga gol tuan rumah, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.
Gol kemenangan Sabah berpunca daripada sepakan percuma De Souza dari jarak kira-kira 40 meter yang ditanduk kemas Tae-su ke dalam gawang Negeri Sembilan dan kedudukan 1-0 kekal sehingga ke wisel penamat.