“Bobbey, Mari, Pulanglah Ke UPKO” – Ketua Bahagian UPKO Pensiangan

621
Jubilin Kilan, Ketua Bahagian UPKO Pensiangan

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
PENSIANGAN: Kepimpinan di sini mengharapkan sekaligus mengalu-alukan niat Datuk Bobbey Suan untuk kembali menyertai Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO).

“Inilah yang kita usahakan selama ini, sejak Mei lalu. “Bobbey, mari, pulanglah ke UPKO. Pastinya ini adalah sesuatu yang sangat mengembirakan kami, ini bagai sireh pulang ke gagang”, kata Jubilin Kilan, ketua bahagian UPKO Pensiangan.

“Perayaan Krismas di kawasan kami baru-baru ini lebih bermakna apabila Datuk Bobbey melafazkan kesediaan beliau untuk kembali bersama UPKO,” tambah beliau lagi.

Bobbey yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Nabawan, dipetik oleh BERNAMA sebagai berkata, beliau tidak menolak kemungkinan akan kembali ke pangkuan parti asalnya.

Bobbey berkata jika itu yang dikehendaki majoriti rakyat serta ahli-ahli parti di kawasan yang diwakilinya itu, beliau akur dengan kehendak rakyat dan mengenepikan hal yang bersifat peribadi.

“Kita ambil pandangan dan pertimbangan kepada semua perkara yang bersifat majoriti ….sebenarnya kita ke arah itu (kembali kepada UPKO).

“Untuk menentukan keterusan politik, saya mengenepikan hal-hal peribadi. Sudah tentu rakyat memahami situasi saya selama ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Kebaktian Natal dan Tahun Baharu 2019 anjuran Majlis Gereja-Gereja Nabawan (MGGN) di sini hujung minggu lalu.

Jubilin berkata, hampir kesemua ahli Jawatankuasa beliau sudah menyatakan mereka “teruja kerana sememangnya mereka tidak pernah putus asa, bukan sahaja berusaha tetapi berdoa agar Datuk Bobbey pulang ke UPKO.”

Tiga sayap parti, yakni Pergerakan Wanita, Pemuda dan Komulakan juga sehaluan dengan AJK Bahagian dalam hal ini, tambah beliau.

BERITA BERKAITAN: –

ADUN Nabawan Tidak Menolak Kemungkinan Kembali Kepangkuan UPKO