BN Tidak Mampu Jadi Kerajaan Bersendirian Pada PRU-15 – Junz Wong

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) tidak mampu untuk muncul sebagai parti tunggal bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Untuk membentuk kerajaan, BN memerlukan sokongan parti daripada Sabah dan Sarawak yang kini tidak akan menyertai BN.

Naib Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Junz Wong berkata, tidak akan ada lagi BN pada PRU akan datang sebaliknya, akan wujud satu gabungan politik baharu yang boleh menstabilkan politik di negara ini.

“Senario politik sekarang tidak sama dengan dulu kerana tiada lagi kuasa BN yang kuat di Sabah dan Sarawak. Dulu ada BN Sabah dan BN Sarawak jadi, itu menyumbang kepada kerusi dimenangi BN.

“Tapi sekarang sudah ada Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak dan Premier mereka menyatakan pada PRU akan datang mereka boleh menjadi ‘king maker’. Malah, mereka tidak cakap akan menyokong BN tapi, mereka akan menjadi penentu siapa akan menjadi kerajaan Persekutuan.

“Apakah rakyat Sabah melihat peluang itu? Adakah anak Sabah sedar bahawa kita boleh ambil peluang ini untuk menentukan nasib kita sendiri.

“Kita boleh menentukan siapa menjadi kerajaan Persekutuan pada kali ini sekiranya kita bersatu dan mengundi parti tempatan. Sarawak juga meminta kita mengundi parti tempatan agar agenda Borneo dapat direalisasikan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Parti Warisan kelmarin.

Junz berkata, inilah masanya untuk Sabah dan Sarawak berjuang bersama-sama untuk menentukan siapa akan membentuk kerajaan agar tuntutan untuk mengembalikan hak Sabah dan Sarawak boleh dijayakan.

Pada PRU akan datang, tiada parti boleh membentuk kerajaan tanpa sokongan parti daripada Sabah dan Sarawak.

Maknanya, jika ingin membentuk kerajaan, BN perlukan 165 kerusi dan beliau tidak melihat ada mana-mana parti boleh memperoleh jumlah itu tanpa mendapat sokongan daripada Sabah dan Sarawak.

“Tanpa Sabah dan Sarawak, tiada parti yang boleh membentu kerajaan, itu kenyataan dan senario politik pada hari ini,” ujarnya.

Pada masa ini, kedua-dua negeri itu mempunyai 56 kerusi Parlimen iaitu 31 di Sarawak dan 25 di Sabah.

Justeru itu, Junz mahu rakyat Sabah sedar dan mengambil peluang yang ada untuk bersatu mengundi parti tempatan agar kerjasama dengan Sarawak bagi menuntut hak-hak kedua-dua negeri itu mampu direalisasikan.

“Apabila kuasa penentu berada ditangan Sabah dan Sarawak maka, parti Semenanjung tidak lagi boleh mengawal kita. Jadi, kita perlu mengubah struktur dan budaya politik yang ada hari ini.

“PRU akan datang seharusnya mewujudkan satu bentuk gabungan baharu yang mempunyai struktur dan budaya politik yang akan memberi fokus kepada agenda dan masalah dihadapi rakyat,” jelasnya.

Menurutnya, rakyat juga sudah bosan dengan pemimpin yang asyik berpolitik. Jadi, demi kestabilan politik negara, berhentilah bercakap soal politik dan kembali memberi fokus kepada isu-isu dihadapi rakyat.