BN Tidak Diberi Mandat, Segerakan PRU15 – Shafie Apdal

SEPANGGAR: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) seharusnya diadakan lebih awal iaitu sejak Langkah Sheraton bermula.

Kerajaan yang memerintah hari ini tidak diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah jadi, tidak harus membiarkan mereka terus memerintah.

Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan yang memerintah hari ini bukan menerima mandat rakyat.

Pilihan raya perlu disegerakan kerana peralihan-peralihan kerajaan yang berlaku tidak membawa kestabilan kepada negara.

“Mengapa harus kita memberi bantuan kepada mereka untuk memerintah. Kita seharusnya bimbang pada pilihan raya lepas, rakyat sudah mengundi kita untuk memerintah namun, kita menyerahkan kuasa kepada BN.

“Ini satu perkara yang kita harus ingat kerana keyakinan rakyat terhadap kita akan hilang. Semasa kita diminta menjadi wakil rakyat dan memerintah, kita harus perintah negara ini sebaik mungkin.

“Jangan pilihan raya sepatutnya diadakan sejak daripada mula,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa bersama masyrakat Parlimen Sepanggar di Masjid Al-Falah Tebobon, Manggatal kelmarin.

Menurutnya peralihan yang berlaku menyebabkan masyarakat dari dalam dan luar negara mula hilang keyakinan terhadap negara.

Mengenai kemungkinan bekerjasama dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP), Mohd Shafie berkata, pada masa ini, Warisan tidak melihat pembentukan gabungan sebagai satu keutamaan kerana mereka ingin memperkukuhkan kedudukan parti.

Katanya, Warisan akan memberi keutamaan untuk menambah serta mempertahankan kerusi Parlimen sedia ada menjelang PRU-15.

“Apa yang penting, kita mahu susun atur rumah kita dahulu sebab saya tidak mahu fikir tentang parti lain sama ada DAP, PKR, mahupun Pejuang.

“Saya mahu siapkan tiang rumah kita dulu, kita mahu perkuatkan Warisan dan kawasan Parlimen yang kita dapat tambah atau pertahankan. Ini merupakan perkara yang menjadi keutamaan,” katanya.