Bingkasan : Rancakkan Kempen Anti Kutu Sampah

30

KOTA KINABALU: Program gotong-royong membersihkan sungai merupakan satu inisiatif baik bagi memelihara serta memulihara alam sekitar khususnya sungai di sesebuah kampung.

Bagaimanapun, adalah lebih efektif sekiranya kempen anti kutu sampah (KAKS) dilaksanakan serta dirancakkan bagi memastikan kebersihan sesebuah kampung lebih terjamin.

Ketua Penerangan UPKO, Albert Bingkasan, berkata, sekiranya KAKS itu dilaksanakan, ia akan mencegah penduduk kampung atau orang awam daripada membuang sampah merata-rata.

KAKS ini sudah mula  dilaksanakan dengan lebih agresif oleh Majlis Daerah Tuaran. Dulu oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan ianya lebih berkesan menangani sampah.

“Usaha KAKS lebih efektif kerana tahap kebersihan sesebuah kampung mencerminkan penduduk itu sendiri.

“Bagaimanapun, program gotong-royong membersihkan sungai juga salah satu usaha yang baik dan murni tetapi ia untuk jangka pendek… ia wajar diteruskan tetapi jauh lebih penting ialah melaksanakan KAKS, mari lestarikan alam sekitar kita,” katanya.

Beliau berkata demikian hari ini ketika ditemui dan diminta mengulas penyertaan beliau dalam program gotong-royong membersihkan Sungai Kampung Tombongon, Manggatal, di sini, Isnin lalu.

Bingkasan yang juga Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada lebih 50 warga Kampung Tombongan yang telah menjayakan program berkenaan.

“Terima kasih juga kepada Benjamin Sabinus Gapit, pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Tombongan kerana sudi menjemput saya dan beliau berjaya menjadikan program ini menjadi kenyataan,” katanya.

Selain pembersihan sungai, turut diadakan adalah acara memacak papan tanda “CINTAI SUNGAI KITA” sebagai gimik pelancaran program itu.

Program pembersihan itu juga dibahagikan kepada tiga kumpulan untuk tiga anak sungai iaitu di Sungai Tombongon-Sungai Magaip, Sungai Tombongon-Sungai Topuan dan Sungai Tombongon-Sungai Sempadan Tombongon-Natai Telipok.

Turut hadir pada program itu adalah wakil daripada pejabat DUN Inanam dan Parlimen Sepanggar serta beberapa agensi kerajaan.