Bina Identiti Sabah, Didik Generasi Muda Jangan Buta Sejarah – Wirawati Warisan

KUCHING: Didik generasi muda mengenai sejarah pembentukan Malaysia menerusi penyertaan Sabah dan Sarawak sekiranya ingin membina identiti sendiri.

Timbalan Ketua Wirawati Warisan, Jo-Anna Sue Henley Rampas berkata, sekiranya ingin menjadi ejen perubahan, pemimpin muda di Sabah dan Sarawak harus memainkan peranan untuk mendidik anak muda tentang hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Sudah tiba masanya kita Sabah dan Sarawak menjadi rakan sekutu kepada Persekutuan.

“Kedua-dua negeri memperjuangkan tentang MA63 di Parlimen. Kita berkongsi perjuangan yang sama jadi, kita perlu memberi kefahaman tentang kepentingan MA63 dalam pembentukan Malaysia,” katanya semasa Forum TSI Kepimpinan Anak Muda Borneo kelmarin.

Jo-Anna berkata, isu MA63 hanya diperkatakan dan dibincangkan dalam kalangan ahli akademik dan mereka yang benar-benar faham tentang MA63 sahaja. Namun, dalam kalangan rakyat biasa, apabila ditanya tentang MA63, mereka tidak mengetahu tentangnya.

Jika dilihat buku teks sejarah yang digunakan di sekolah, tidak banyak menyentuh mengenai bagaimana Sabah dan Sarawak sama-sama menyertai Persekutuan Tanah Melayu bagi membentuk Malaysia menerusi Suruhanjaya Cobbold.

Perkara penting tentang Suruhanjaya Cobbold, hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak tidak tertulis dalam buku teks.

Maka, sudah tiba masanya untuk pembuat dasar masukkan secara terperinci tentang pembentukan Malaysia agar lebih ramai orang memahami kenapa timbul isu MA63.

Hak Sabah dan Sarawak dalam MA63 tidak seharusnya menjadi perbincangan dalam kalangan ahli akademik sahaja. Ia harus difahami oleh semua lapisan masyarakat terutama generasi muda.

“Majoriti rakyat tidak tahu tentang MA63, agak menyedihkan apabila kita tidak tahu tentang sejarah sendiri,” katanya.